"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib cuba sekat siasatan SPRM terhadap 1MDB

Bernama

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa Najib Razak cuba menyekat siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap syarikat 1MDB.

Pegawai Penyiasat SPRM Nur Aida Ariffin, 37, berkata Najib mengarahkan beberapa tindakan yang didakwa dilakukan untuk menyekat siasatan agensi antirasuah itu semasa beliau memegang jawatan sebagai perdana menteri termasuk menutup kes berhubung 1MDB.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam Shafee Abdullah yang mewakili Najib semasa perbicaraan bekas Ahli Parlimen Pekan itu berhubung penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 billion.

Bagaimanapun, Shafee berkata Nur Aida tidak mempunyai sebarang bukti untuk menunjukkan Najib mengeluarkan arahan-arahan tersebut.

Shafee: Setuju atau tidak semasa siasatan oleh polis dan SPRM (terhadap 1MDB) tiada sekatan daripada Najib?

Nur Aida: Untuk SPRM, ada sekatan. Contoh tindakan yang diambil semasa Najib menjadi PM antaranya menukar ketua pesuruhjaya SPRM, membuat tangkapan ke atas pegawai SPRM dan akhir sekali, Apandi Ali (bekas Peguam Negara) menutup kes itu walaupun SPRM mengesyorkan tindakan selanjutnya.

Shafee: Mari kita lalui ini satu-persatu. Saya akan tunjukkan ini hanyalah tanggapan salah kamu. Kamu katakan arahan untuk Apandi tutup kes tiada tindakan lanjut (NFA) datang daripada Najib?

Nur Aida: Berdasarkan nota-nota dirampas daripada Amhari Efendi Nazaruddin (bekas pegawai khas Najib), ada dokumen iaitu nota percakapan yang disediakan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) berhubung penutupan kes.

Nur Aida berkata Amhari semasa disoal siasat memaklumkan nota itu disediakan oleh Jho Low berdasarkan arahan Najib dan perkara yang dinyatakan dalam nota percakapan tersebut akhirnya berlaku.

Bagaimanapun, Shafee berkata perkara itu hanyalah andaian Nur Aida semata-mata kerana saksi berkenaan tiada bukti atau keterangan langsung yang membuktikan arahan tersebut adalah daripada Najib.

Shafee: Soalan saya, kamu tiada bukti yang mengatakan ini arahan terus daripada Najib.

Nur Aida: Amhari pegawai khas Najib. Bagi saya keterangan itu cukup, semua dalam nota itu (yang SPRM rampas daripada Amhari) dan antara perkara yang dikatakan dalam nota itu adalah pertukaran ketua pesuruhjaya selain siasatan kes perlu ditutup.

Shafee: Kamu seorang pegawai penyiasat, kamu bercakap seperti berada di kedai kopi.

Nur Aida: Ini bukan kedai kopi Tan Sri, arahan secara langsung memang tidak ada tetapi berdasarkan siasatan secara menyeluruh, perkara itu memang berlaku.

Pada peringkat ini, Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata memandangkan Nur Aida tetap dengan pendiriannya, Shafee boleh membangkitkan perkara itu dalam hujahannya nanti.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung esok.

Tiada ulasan: