Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my
Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini mengekalkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM400,000 ke atas seorang kerana menerima suapan RM80,000, 10 tahun lalu.
Bagaimanapun, perayu, Zailan Jauhari, 54, disahkan meninggal dunia pada Januari tahun lalu akibat jangkitan kuman.
Dalam prosiding hari ini, panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan sebulat suara selepas menolak rayuan akhir Zailan terhadap sabitan dan hukuman.
"Dalam kes ini ada keterangan yang melimpah ruah (overwhelming) daripada pihak pendakwaan. Oleh itu, rayuan perayu terhadap sabitan dan hukuman ditolak manakala jaminan sebanyak RM60,000 dikembalikan kepada penjamin," kata Hadhariah yang bersidang bersama Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin.
Mengikut pertuduhan, Zailan didakwa menerima suapan bagi mana-mana orang lain iaitu wang tunai RM20,000 dan sekeping cek bernilai RM60,000 sebagai upah kerana membantu dua syarikat mendapatkan tender bagi kerja-kerja pembersihan sekolah dalam daerah Kuala Selangor.
Dia yang pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Februari 2014 didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Kuala Selangor, antara 7.30 malam dan 8 malam, pada 8 Januari 2014.
Zailan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pada 27 Disember 2018, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM400,000 ke atas Zailan selepas didapati bersalah menerima suapan itu.
Zailan kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam, namun pada 17 Februari 2022 mahkamah mengekalkan keputusan itu.
Terdahulu, peguam PG Cyril mewakili Zailan berkata, seorang individu dikenali sebagai Datuk Mohar adalah saksi yang material dalam kes itu, namun beliau (Mohar) bukan sahaja tidak dipanggil untuk memberikan keterangan malah tidak ditawarkan kepada perayu (Zailan) sebagai saksi yang mana namanya ada dalam senarai saksi dalam kes berkenaan.
Katanya, keterangan Mohar membolehkan pengesahan atau penafian diberikan berkenaan sama ada wang tunai RM20,000 dan cek berjumlah RM60,000 adalah untuk tujuan kerja komuniti.
Sebelum itu, Cyril memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya sudah meninggal dunia pada Januari tahun lalu dan isteri Zailan sebagai penjamin hadir pada prosiding hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari berhujah dapatan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa Seksyen 114 (g) Akta Keterangan 1950 tidak terpakai ke atas pihak pendakwaan hanya disebabkan Datuk Mohar tidak dipanggil sebagai saksi adalah tepat.
"Ini kerana tanpa keterangan Datuk Mohar sekalipun, keterangan yang dibentangkan oleh pihak pendakwaan akan kekal sama dan keterangan saksi pendakwaan ke-19 (kontraktor) jelas menyatakan bahawa bayaran yang perlu dibuat kepada perayu adalah bayaran komisen dan tidak berkaitan dengan projek komuniti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan