"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rogol, bunuh wanita, mahkamah kekal hukuman mati anak Datuk

Ho Kit Yen

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati seorang ahli perniagaan kerana membunuh seorang wanita berusia 25 tahun di Sungai Petani, Kedah, pada 2006.

Hakim Harmindar Singh Dhaliwal ketika mengumumkan permohonan Shahril Jaafar untuk meringankan hukumannya ditolak berkata, Chee Gaik Yap menjadi mangsa “keganasan luar biasa”, membawa kepada kematiannya.

Katanya, Chee “diculik, diliwat, dirogol dan dibunuh” oleh Shahril, anak kepada seorang ahli perniagaan bergelar Datuk.

“Pembunuhan ini mengejutkan orang ramai kerana berlaku pada siang hari.

“Mahkamah tidak terikat dengan pendapat awam, tetapi tiada pilihan kecuali menolak (permohonan ini),” kata Harmindar.

Hakim lain dalam panel yang mendengar permohonan Shahril terdiri daripada Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais.

Permohonan itu dibuat bawah Akta Semakan Hukuman Mati Dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) susulan pemansuhan hukuman mati mandatori oleh Parlimen, merangkumi kesalahan bunuh, tahun lepas.

Pada 2015, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atas Shahril selepas mendapati dia bersalah membunuh Chee berhampiran Kelab Cinta Sayang di Taman Ria, Sungai Petani.

Sabitan dan hukumannya disahkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Chee, seorang graduan Universiti Utara Malaysia yang bekerja sebagai eksekutif pemasaran, dirogol sebelum dibunuh dan mayatnya dibuang di sebuah kawasan perumahan pada Januari 2006.

Dia dipercayai diekori penyerangnya ketika berjoging di kawasan kejiranannya.

Shahril diberkas sejurus selepas mayat Chee ditemukan, tetapi dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan ujian DNA.

Dia kemudian melarikan diri ke Perth, Australia, tetapi ditahan semula sejurus pulang enam tahun kemudian, pada Januari 2012.

Terdahulu, peguam mewakili Shahril, Rosli Kamaruddin memberitahu mahkamah, anak guamnya sudah insaf dan mahu memulakan hidup baharu bersama keluarganya.

“Dia mengikuti kursus pemulihan di penjara, menunjukkan niatnya untuk bertaubat,” kata Rosli.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Dusuki Mokhtar membantah dengan hujah, pembunuhan itu ialah kes “paling jarang berlaku”.

Beliau berkata, pakar patologi forensik menemukan 50 kesan luka pada mayat Chee, termasuk di bahagian sulitnya, yang turut mengandungi DNA Shahril.

“Keluarga si mati menyatakan kepada pihak pendakwaan bahawa mereka tidak menyokong permohonan semakan (hukuman) Shahril,” tambahnya.

Tiada ulasan: