"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zalimnya! Tergamak sumbat kucing dalam guni campak sungai

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular yang memaparkan orang ramai cuba menyelamatkan kucing yang dibuang di dalam guni.
TANGKAP layar video tular yang memaparkan orang ramai cuba menyelamatkan kucing yang dibuang di dalam guni.
Kuala Lumpur: Zalim. Itu perkataan yang dapat menggambarkan tindakan seorang lelaki yang tergamak menyumbat kucing di dalam guni dan dicampak ke sungai di Jelutong, Pulau Pinang, hari ini.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) Ari Dwi Andika berkata, berdasarkan maklumat pelaku sudah dua kali berbuat demikian dan perbuatannya pada 8.30 pagi ini berjaya dilihat saksi.

"Perbuatan zalim kali kedua yang berlaku di tempat sama sempat dilihat oleh saksi yang selama ini tertanya-tanya siapakah sering bungkus kucing dalam guni berikat dan dilempar ke sungai sebelum ditemui mati.

"Satu laporan polis dibuat di Balai Polis Jelutong, Timur Laut, Pulau Pinang pada 11.58 pagi tadi supaya penjenayah melakukan perbuatan zalim dapat diheret ke muka pengadilan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ari berkata, kes jenayah haiwan itu mempunyai saksi yang mengenali pelaku.

Justeru, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa mengambil tindakan undang-undang mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015.

"Masyarakat Pulau Pinang menunggu kecekapan dan kompetensi pegawai penyiasat menjalankan siasatan dan menanti hasil pendakwaan terhadap penjenayah haiwan yang didakwa sudah beberapa kali melakukan jenayah kejam dan tidak berperikemanusiaan itu," katanya.

Berdasarkan rakaman video berdurasi satu minit tujuh saat, seorang individu bertindak mengambil guni yang berikat dari dalam sungai.

Selepas ikatan dibuka, individu itu mendapati terdapat seekor kucing yang dipercayai sudah tidak bernyawa.

Tiada ulasan: