"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gabungan Mawi dan Ustaz Kazim dedah bahaya ilmu hitam

Norhayati Nordin
norhayati_nordin@hmetro.com.my
GABUNGAN Mawi dan Ustaz Kazim dalam filem Zim Zim Ala Kazim.
GABUNGAN Mawi dan Ustaz Kazim dalam filem Zim Zim Ala Kazim.
MESKIPUN ketika ini era teknologi yang berpengaruh besar, namun mentaliti dan sikap seseorang individu itu sukar dijangka.

Apatah lagi, apabila ia berhubung kait dengan ilmu hitam atau sihir.

Justeru, penceramah bebas dan pendakwah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias atau Ustaz Kazim, 52, akur dengan ujian menimpa dirinya yang menjadi mangsa 'sihir' pihak tidak dikenali akibat perasaan kurang senang di hati.

Tidak hanya Ustaz Kazim, namun juara Akademi Fantasia 3 (AF3) yang pernah mencetus fenomena 'Tsumawi' pada 2005 iaitu Asmawi Ani atau Mawi, 43, juga pernah berhadapan pengalaman disihir.

Berbicara mengenai pengalaman sihir itu, Mawi berkata, dia nekad berkongsi kisah 'ngeri' dialami Ustaz Kazim dalam filem arahannya, Zim Zim Ala Kazim yang siap dihasilkan sepenuhnya pada 2022.

"Saya dapat ilham menghasilkan filem ini yang memaparkan kisah sebenar Ustaz Kazim mengalami perkara mistik akibat disihir selepas kami berbual bersama dan beliau menceritakan dirinya pernah muntah darah yang teruk kerana ilmu hitam.

"Keadaan muntah darah teruk sebegitu, saya pun pernah mengalaminya dan dikesan akibat disihir juga. Jadi, daripada pengalaman yang sama itu, saya cuba berbincang dengan Ustaz Kazim untuk memfilemkan kisah dirinya.

"Tak sangka pula, Ustaz Kazim menerima idea saya itu dengan positif dan bersetuju mengangkat kisah sihir menimpa dirinya untuk dijadikan sebuah karya tontonan masyarakat bagi disiarkan di platform saluran TV berbayar," katanya.

Menurut Mawi, bagaimanapun dia mendapat peluang untuk karya garapannya itu dibawa ke layar perak dan Zim Zim Ala Kazim menemui penonton di seluruh pawagam tanah air mulai 13 Jun depan.

Ustaz Kazim yang ditanya mengenai filem lakonannya itu mungkin dianggap segelintir pihak sebagai produk seni untuk 'mempergunakannya' bagi mengaut keuntungan, menafikan Mawi berniat begitu.

"Saya bersetuju dengan idea Mawi untuk berkongsi kisah sihir ini difilemkan kerana menganggap sudah tiba masanya untuk diceritakan supaya dapat memberi pengajaran dan pendedahan berkenaan bahaya ilmu hitam.

"Tambahan pula, sihir ini sebenarnya digunakan golongan tertentu sejak dahulu kala. Apatah lagi, perbuatan sihir juga ada diceritakan dalam al-Quran dan sudah berlaku pada zaman nabi.

"Contohnya, sejak zaman Nabi Sulaiman sudah timbul perkara berkaitan sihir ini. Begitu juga kisah Nabi Musa berlawan dengan sihir Firaun. Jadi, kalau kita menolak wujudnya sihir, maka kita sudah menolak al-Quran.

"Dalam al-Quran sendiri sudah menceritakan bahawa sihir wujud dan ia termasuk pada kategori dosa besar. Apabila dalam al-Quran dan nabi sendiri ada menyebut, maka sihir ini sentiasa ada. Malah, orang yang mengamalkannya (sihir) tetap ada sampai hari kiamat," katanya.

Terdahulu, Ustaz Kazim dan Mawi ditemui pada sesi fotografi yang diaturkan bersama mereka sempena promosi filem Zim Zim Ala Kazim di Studio NSTP, Balai Berita, Kuala Lumpur.

Diterbitkan oleh MW Entertainment Sdn Bhd, filem ini membariskan pelakon lain seperti Mawi sendiri, Bell Ngasri, Anas Tahir, Santesh Kumar, Elvina Chua, Man Raja Lawak dan Maimunah Ahmad atau Mak Jah.

Dah lama kena sihir

Kisah Ustaz Kazim disihir bukan perkara baharu, tetapi sudah diketahui masyarakat di Malaysia sejak pendedahan dibuatnya beberapa tahun lalu apabila didakwa 'sepi seketika' daripada ceramah.

Ustaz Kazim berkata, kisah dirinya berhadapan kesakitan sihir dialami sudah dikongsikan sebelum ini, cuma mungkin daripada segi perjalanan apa berlaku kepadanya tidak begitu diceritakan.

"Bagaimanapun, memandangkan kali ini Mawi membuatnya dalam bentuk filem berdurasi lebih satu jam, jadi saya rasa wajar untuk orang datang tengok di pawagam nanti. Lagi pula, selama ini orang ramai mungkin hanya mendengar cerita (disihir).

"Tetapi, apabila kisah sihir yang saya hadapi sehingga sekarang ini difilemkan, masyarakat sudah boleh membayangkan bagaimana kesakitan dialami itu. Malah, ada juga babak orang datang minta maaf dan sebagainya.

"Jadi, saya yakin pasti ada orang yang nak tengok filem ini di pawagam. Penonton berpeluang saksi keadaan sebenar saya ketika mengalami kesakitan itu yang hanya Allah lebih tahu," katanya.

Sehubungan itu, kira-kira 70 hingga 80 peratus jalan cerita dipaparkan dalam filem Zim Zim Ala Kazim adalah kisah benar mengenai Ustaz Kazim, manakala selebihnya itu ditokok tambah untuk menjadikan penceritaan lebih menarik.

Difahamkan juga lokasi penggambaran filem dilakukan di sekitar rumah Ustaz Kazim di Manjoi, Ipoh, Perak. Termasuk, filem ini juga mendapat kelulusan 100 peratus tanpa potongan babak daripada Lembaga Penapis Filem (LPF).

Tiada ulasan: