"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Empat lelaki termasuk penjawat awam ditahan menyamar polis, menyamun lapan warga asing

Hidayatidayu Razali
bhnews@bh.com.my
Empat lelaki ditahan reman kerana disyaki menyamar polis dan menyamun warga asing di Melor malam tadi.
Empat lelaki ditahan reman kerana disyaki menyamar polis dan menyamun warga asing di Melor malam tadi.
KOTA BHARU: Tindakan empat lelaki termasuk seorang penjawat awam, menyamar sebagai pegawai dan anggota polis ketika menyamun lapan warga asing berakhir apabila ditahan polis, malam tadi.

Suspek berusia di antara 29 hingga 43 tahun itu disyaki terbabit dalam kes samun berkumpulan dan ditahan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di tepi jalan Kampung Kubang Tin, Melor pada jam 11 malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Wan Ruzailan Wan Mat Yusoff, berkata kejadian berlaku 10.30 malam itu ketika mangsa bersama-sama tujuh rakan berjalan pulang ke rumah, tiba-tiba mereka ditahan empat lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis.

Beliau berkata, suspek merampas beg duit, telefon bimbit dan kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) milik mangsa berusia 20-an dan rakan-rakannya sebelum melarikan diri.

"Mangsa adalah warga Myanmar yang bekerja sebagai buruh di Kota Bharu dan menetap di negara ini selama 13 tahun.

"Bertindak atas maklumat risikan, empat lelaki termasuk seorang penjawat awam dan tiga pekerja kedai mencuci kereta ditahan di tepi jalan Kampung Kubang Tin, Melor kerana disyaki terbabit dalam kejadian itu.

"Turut dirampas ketika tangkapan ialah tiga motosikal, topi keledar dan sejumlah wang tunai," katanya menerusi satu kenyataan media di sini, malam ini.

Wan Ruzailan berkata, kesemua suspek ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 25 Mei ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan (KK) yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan mengikut Seksyen 395 KK, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebat. Namun, kes masih di peringkat siasatan.

"Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," katanya.

Tiada ulasan: