"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Israel guna alasan terowong untuk serang Rafah

AFP

Kaherah: Israel menggunakan dakwaan terowong di sempadan Mesir dengan Gaza sebagai alasan untuk melancarkan serangan di Rafah, lapor media Mesir, Al-Qahera News.

"Tiada kebenaran kepada laporan media Israel mengenai kewujudan terowong di sempadan Mesir dengan Gaza," kata Al-Qahera yang memetik sumber perisikan peringkat tinggi.

"Israel menggunakan dakwaan untuk meneruskan operasi di bandar Rafah di Palestin dan memanjangkan perang untuk tujuan politik," kata sumber berkenaan lagi.

Jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari sebelum ini dilaporkan berkata, tentera menemukan 20 terowong di kawasan itu.

Mesir berkata, ia memusnahkan ratusan terowong rentas sempadan dengan Gaza sejak 2013. Terowong itu digunakan untuk mengangkut pejuang dan senjata ketika perang membabitkan pemberontak di Sinai Utara di lokasi itu, selama bertahun-tahun.

Bangunan kediaman juga dirobohkan ketika pihak berkuasa Mesir membersihkan kawasan di mana terowong dibuka di Sinai Utara.

Sejak tercetusnya perang Gaza pada Oktober, Israel berulang kali mendakwa penyeludupan terus berlaku melalui terowong di bawah sempadan.

Mesir pula menuduh Israel menggunakan dakwaan itu untuk membenarkan pendudukan secara haram di koridor Philadelphi, menurut ketua Perkhidmatan Maklumat Negara Mesir, Diaa Rashwan.

Januari lalu, Rashwan memaklumkm Mesir sudah menghapuskan terowong termasuk dengan mewujudkan zon penampan dan mengukuhkan sempadan, menjadikan sebarang operasi penyeludupan mustahil, sama ada di atas atau di bawah tanah

Rashwan pada masa itu memberi amaran bahawa menduduki koridor Philadelphi adalah pelanggaran perjanjian Kem David, yang ditandatangani Israel dan Mesir pada 1979.

Ketegangan dengan Mesir yang juga negara Arab pertama mengiktiraf Israel dan secara sejarah memainkan peranan pengantara utama meningkat, sejak Israel menolak amaran global serta menghantar tentera darat ke Rafah, awal bulan ini.

Tentera Israel juga merampas bahagian sempadan Palestin dengan Mesir, yang sejak itu enggan menyelaraskan penghantaran bantuan kemanusiaan melalui Rafah.

Walaupun mendapat bantahan global, Israel meneruskan serangan darat di Rafah.

Tiada ulasan: