"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemberi rasuah terbesar direman empat hari

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
PEMILIK premis perniagaan haram yang menjadi ‘orang tengah’ mengumpul wang rasuah untuk diberikan kepada penguat kuasa dibawa pegawai SPRM ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk perintah reman.  FOTO Ihsan SPRM
PEMILIK premis perniagaan haram yang menjadi ‘orang tengah’ mengumpul wang rasuah untuk diberikan kepada penguat kuasa dibawa pegawai SPRM ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk perintah reman. FOTO Ihsan SPRM
Kuala Lumpur: Pemilik premis perniagaan haram yang disyaki menjadi 'orang tengah' mengumpul wang rasuah untuk diberikan kepada pegawai penguat kuasa direman empat hari.

Perintah reman sehingga Isnin ini dikeluarkan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim terhadap suspek selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

Sumber berkata, lelaki berusia 60-an terbabit sebelum itu ditahan sekitar ibu negara pada jam 6.45 petang semalam.

Katanya, suspek dipercayai menjadi 'orang tengah' atau perantara yang mengumpul wang rasuah daripada beberapa premis perniagaan haram seperti rumah urut dan pusat hiburan di ibu negara.

"Wang yang dikumpul kemudian akan diagihkan kepada pegawai dan anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) serta anggota sebuah lagi agensi penguat kuasa lain.

"Wang rasuah itu bagi membolehkan premis perniagaan haram mereka beroperasi tanpa dikenakan tindakan penguatkuasaan," katanya.

Menurut sumber, hasil penahanan suspek itu, SPRM turut merampas dan menyita wang tunai berjumlah hampir RM400,000 yang dipercayai dikumpul untuk diedarkan kepada pegawai serta anggota penguat kuasa.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan sindiket perniagaan haram di ibu negara yang juga pemberi rasuah terbesar kepada penjawat awam bagi melindungi aktiviti mereka berjaya ditahan SPRM semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan penahanan itu berkata, lelaki terbabit kini sedang disiasat pegawai SPRM.

Tangkapan terbaru itu adalah susulan penahanan empat individu termasuk seorang timbalan pengarah PBT pada 7 Jun lalu.

Tiada ulasan: