"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes kematian Zayn Rayyan: Sudah ada petunjuk besar?

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Kes kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang menggemparkan negara dipercayai sudah menghampiri garis penamatnya.

Ia susulan ibu kepada kanak-kanak terbabit yang masih berada dalam tahanan reman dibawa ke kediaman mereka di Apartmen Idaman dekat sini, dan lokasi mayat ditemukan, dipercayai bagi melakonkan semula kejadian, semalam.

Difahamkan, satu petunjuk besar berkemungkinan diperoleh polis berdasarkan siasatan semasa sepanjang tempoh reman berkenaan.

Ini berdasarkan proses polis membawa ibu mangsa ke lokasi kejadian selepas dia disambung reman selama enam hari bermula Jumaat lalu.

Untuk rekod, dua individu yang ditahan ketika ini adalah ibu dan bapa kanak-kanak itu yang berusia 28 tahun.

Wartawan yang berada di lokasi mendapati ibu kepada kanak-kanak autisme itu tiba jam 10.15 pagi dengan menaiki van putih menuju ke Blok R kediaman terbabit.

Difahamkan, wanita itu dibawa semula ke kediaman dan lokasi kanak-kanak berkenaan ditemukan iaitu saliran sungai yang terletak kira-kira 200 meter daripada blok kediaman yang dihuni keluarga berkenaan bagi melakonkan semula kejadian.

Anggota polis turut dilihat membawa patung kanak-kanak namun tidak dapat dipastikan tujuan kegunaannya.

Pada jam 11.06 pagi, wanita itu diiringi dan dikawal ketat anggota polis ke kawasan semak yang terletak berhampiran blok kediaman terbabit.

Wanita berkenaan dilihat memakai baju lokap oren dengan diiringi pegawai polis wanita di kawasan itu.

Selepas dua jam berada di lokasi, van putih yang dipercayai membawa wanita terbabit dilihat keluar dari kawasan Apartmen Idaman.

Pada jam 12.55 tengah hari pula, kenderaan yang membawa Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, tiba di kawasan Apartmen Idaman.

Mohd Shuhaily dilaporkan diberikan taklimat dan penerangan berkaitan proses lakon semula di lokasi kejadian oleh pegawai daripada pasukan siasatan.

Turut berada di lokasi kejadian adalah Timbalan Pengarah Risikan/Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Deputi Komisioner Fadil Marsus, yang tiba jam 12.20 tengah hari.

Semua pasukan siasatan dilihat keluar dari Apartmen Idaman jam 2.12 petang.

Setakat jam 4 petang semalam, usaha untuk mendapatkan maklumat rasmi berkaitan siasatan semula di lokasi kejadian daripada polis masih belum berhasil.

Sementara itu, peguam mewakili wanita berkenaan, Mahmud Jumaat berkata, pihaknya masih menunggu hasil siasatan kes.

"Kita tunggu hasil siasatan," katanya ringkas.

Tiada ulasan: