"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki kesal polis lewat siasat dakwaan anak didera guru

Faisal Asyraf
Bapa berkata dia menemui kesan lebam dan calar di belakang, telinga dan pipi anaknya.
PETALING JAYA: Seorang bapa menggesa polis mengambil tindakan segera selepas mendakwa anak lelakinya berusia empat tahun didera guru dalam kejadian di sebuah taska di Pandamaran, Klang bulan lalu.

Lelaki itu berkata, dia mengambil anaknya dari taska kira-kira tengah hari pada 13 Mei dan mendapati terdapat kesan lebam dan calar di belakang, telinga dan pipi.

Dalam laporan polisnya, lelaki berusia 33 tahun itu berkata seorang guru mengaku telah memukul kanak-kanak lelaki itu dengan tangannya selepas dia membuang air besar dalam seluar.

Jurujual itu berkata, dia kemudiannya membawa anaknya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, di mana doktor mengesahkan kecederaan itu.

Katanya, anaknya trauma dengan kejadian itu dan takut untuk kembali ke taska.

Royston Tan, peguam yang mewakili lelaki itu, berkata polis masih belum membuat tangkapan walaupun kejadian yang didakwa berlaku lebih tiga minggu lalu.

Tan berkata pegawai penyiasat memberitahunya mereka masih menunggu laporan daripada Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC).

Pusat yang ditubuhkan di bawah Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak Bukit Aman itu adalah bagi menangani kes seksual dan penderaan ke atas kanak-kanak dan wanita.

“Kebimbangan utama saya ialah, sekiranya kes ini berlarutan sekian lama, adakah polis akan terlepas peluang untuk mengumpul semua bukti seperti rakaman CCTV?” katanya kepada FMT.

“Polis harus menangkap suspek dan mendapatkan semua bukti secepat mungkin.”

Beliau berkata ibu pejabat polis Klang Selatan perlu memantau kes itu bagi memastikan keadilan terhadap budak itu.

FMT telah menghubungi polis Klang Selatan untuk mendapatkan ulasan.

Tiada ulasan: