"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

33 disyaki dijangkiti kencing tikus selepas mengunjungi Kolam Air Panas Jasin

Bernama

MELAKA: Seramai 33 orang, termasuk pelajar dan guru sebuah sekolah di sini disyaki dijangkiti wabak Leptospirosis atau kencing tikus selepas mengunjungi Kolam Air Panas Jasin minggu lepas.

Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Ruzita Mustaffa berkata pada 7 Jun lepas, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah menerima notifikasi sekumpulan pelajar sekolah mengalami gejala demam, batuk, selsema dan sakit badan selepas mengikuti program terapi di kolam air panas dua hari sebelum itu.

“PKD Melaka Tengah dimaklumkan 78 peserta terdiri daripada pelajar, guru, ibu bapa dan penjaga mengikuti program tersebut.

“Bagaimanapun, 27 orang terdiri daripada 15 pelajar, sembilan guru dan tiga penjaga mengalami gejala demam, batuk, selsema dan sakit badan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, lima daripada mereka, iaitu seorang penjaga dan empat pelajar dimasukkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dan dalam keadaan stabil, manakala kes bergejala lain menerima rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Ayer Keroh.

Katanya, enam kes baharu wabak itu dikesan dalam kalangan orang awam berkunjung ke kolam air panas berkenaan sejak 7 Jun lalu hingga semalam dan sampel klinikal pesakit telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kesihatan (MKAK) Sungai Buloh untuk ujian pengesahan Leptospirosis.

Menurutnya, penilaian risiko ke atas kolam air panas itu mendapati persekitaran kawasan berkenaan kondusif untuk penularan Leptospirosis.

Sampel persekitaran turut dihantar ke MKAK Sungai Buloh untuk ujian pengesahan dan sebagai langkah kawalan, pusat rekreasi itu ditutup selama 14 hari bermula 8 Jun lepas.

“Pengusaha diarah menjalankan kerja pembersihan dan menukar air kolam secara kerap serta berjadual, menjaga kebersihan dan memastikan tiada infestasi tikus atau haiwan pembawa penyakit lain.

“Jabatan Kesihatan Negeri akan terus memantau perkembangan terkini kejadian kluster disyaki Leptospirosis ini serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan dengan kerjasama semua agensi berkaitan.”

Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa menjaga kebersihan semasa berkunjung ke pusat rekreasi dan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran jika bergejala.

Tiada ulasan: