"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pekerja maut ketika cuci paip tersumbat

BERNAMA

Nibong Tebal: Seorang lelaki maut di dalam kolam fiber kertas ketika menjalankan kerja-kerja mencuci paip yang tersumbat di sebuah kilang pembuatan kotak di sini semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang Hairozie Asri berkata siasatan awal mendapati mangsa, 41, telah bertindak turun berseorangan untuk mencuci paip tersumbat di dalam kolam itu yang telah tertangguh hampir dua minggu.

"Mangsa dilaporkan tidak dapat dikesan dan penyelia bersama dengan beberapa pekerja berusaha mencari lelaki itu sebelum semakan kamera litar tertutup yang terdapat di situ menunjukkan mangsa telah masuk ke dalam kolam pada 3.38 petang semalam.

"Pada 10.40 malam, mangsa telah dijumpai namun telah meninggal dunia di tempat kejadian, ekoran itu sepasukan pegawai penyiasat dari JKKP telah ke lokasi bagi menjalankan siasatan," menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata JKKP Pulau Pinang juga telah mengeluarkan notis pemberhentian serta-merta ke atas kerja-kerja di kawasan kejadian di kilang tersebut sehingga siasatan selesai.

Hairozie juga berkata pihaknya telah mengarahkan majikan untuk melakukan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan serta membuat pembentangan kes kepada JKKP Pulau Pinang.

Beliau berkata JKKP Pulau Pinang akan menjalankan siasatan susulan dengan mendapatkan dokumen berkaitan, merakam percakapan saksi yang dikenal pasti dan mengadakan lawatan susulan ke premis majikan selepas tindakan penambahbaikan serta pencegahan diambil.

"Adalah menjadi tanggungjawab majikan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan serta kesihatan di tempat kerja kerana majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, perlu membuat analisis risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan," katanya.

Hairozie berkata ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlaku kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan.

Beliau berkata JKKP Pulau Pinang memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan yang berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor malah sentiasa komited untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini.

Tiada ulasan: