"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keluarga Zayn Rayyan dinasihatkan buat laporan polis terhadap Edisi Siasat

Mohd Farhan Darwis

PETALING JAYA: Keluarga Zayn Rayyan Abdul Matiin dinasihatkan membuat laporan polis terhadap pengendali akaun telegram Edisi Siasat yang didakwa memulakan penyebaran maklumat kononnya fakta kes kematian kanak-kanak autisme itu, kata peguam mereka.

Bercakap kepada FMT, Fahmi Abd Moin berkata ini kerana tindakan penyebaran tangkap layar berkenaan sejak semalam sebagai satu kesalahan fitnah jenayah.

“Saya nasihatkan keluarga buat laporan polis terhadap Edisi Siasat sebab mereka yang mula sebar.

“Kita nak tahu sumber mana, siapa sebarkan, kandungan ‘screen shot’ itu agak ‘damaging’, cadangan saya kepada keluarga, saya akan pantau, tapi keluarga kena buat laporan polis atas tindakan fitnah jenayah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan setakat ini pihak keluarga masih belum membuat laporan polis terbabit.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata polis akan menjalankan siasatan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung penyebaran dokumen didakwa berkaitan kes pembunuhan Zayn Rayyan di media sosial.

Suhaily berkata tindakan itu disifatkan tidak bertanggungjawab dan meminta SKMM menyekat penyebaran maklumat tidak tepat kerana boleh mengganggu perjalanan perbicaraan.

Pada prosiding di Mahkamah Sesyen semalam, ibu bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf mengaku tidak bersalah di mahkamah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Pada 6 Dis tahun lepas mayat Zayn Rayyan, 6, ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Tiada ulasan: