"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UMNO sekolahkan Sanusi: ‘Nak jual air apanya, kegunaan pun capai 99 peratus’

SITI NUR ZAWANI

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ditempelak selepas menawarkan untuk menjual bekalan air bersih kepada Pulau Pinang.

Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid menasihatkan Sanusi untuk mengambil tahu terlebih dahulu berkenaan kapasiti kesemua Loji Rawatan Air (LRA).

Ini kerana kata Mahdzir, kesemua LRA di negeri itu hanya mencukupi untuk kegunaan dalam negeri dan tidak ada lebihan yang boleh dijual.

“Nak jual air apa (sedangkan) di Kedah ini tak ada margin, Sanusi kena tahu berapa margin yang ada. Contohnya dalam satu tong air ada banyak mana dan berapa kapasiti air nak digunakan.

“Kalau ada satu tong dan perlu guna kesemua satu tong itu nak jual macam mana, kecuali guna 70 peratus dan ada margin 30 peratus lagi. Tetapi di Kedah kegunaan air sekarang 99 peratus, margin hanya satu peratus saja,” katanya ketika sidang media petang tadi.

Pada masa sama Mahdzir turut menasihatkan Menteri Besar Kedah itu memberi fokus kepada penyelesaian masalah air di negeri tersebut terutama melibatkan pembekalan sumber itu ke Langkawi.

Menurutnya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) pernah mentadbir Kedah dan mengetahui fakta berkaitan sumber air yang mana kapasiti kesemua LRA sedia ada hanya mencukupi untuk kegunaan dalam negeri.

“Itu belum diambil kira dengan situasi air tidak terhasil yang tinggi akibat kebocoran dan sebagainya. Kita tahu kerana pernah berusaha buat perkara itu menjadi elok tetapi dia satu pun tak buat ke arah itu kecuali harapkan pertolongan kerajaan Persekutuan.

“Sekarang ini kena selesai dulu masalah air di Kedah. Cakap (nak jual air) kerana nak pilihan raya, nak politik sebab ada PRK tak payah lah begitu, selesai dulu masalah-masalah di negeri ini yang banyak belum selesai,” ujarnya.

Akhbar sebelum ini melaporkan kerajaan negeri Kedah mempelawa Pulau Pinang untuk mendapatkan lebihan air bersih dari negeri itu yang disimpan di LRA Lubuk Buntar di Kedah.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, pihaknya sedia menjual bekalan air bersih kepada Pulau Pinang bagi mengatasi isu air yang membelenggu penduduk Nibong Tebal khususnya di Sungai Bakap.

Tiada ulasan: