"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes libas abang dengan parang, penganggur mengaku tak salah

Bernama

ALOR GAJAH: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mencederakan abang kandungnya menggunakan sebilah parang minggu lepas.

Muhammad Tuah Md Dali, 27, didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan sebilah parang terhadap Muhammad Redza, 34, di sebuah rumah di Kampung Nelayan Kuala Linggi, Kuala Sungai Baru di sini, kira-kira 8.40 malam 5 Jun lepas.

Dia didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan juga didenda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang boleh dikenakan atas sabitan bagi kesalahan di bawah seksyen sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan RM30,000 terhadap Tuah, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan tiada pendapatan tetap.

Hakim Nariman Badruddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu gugat mangsa serta saksi sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 22 Julai ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Tiada ulasan: