"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mampukah Kamala Harris pikat pengundi Arab Muslim?

Nadia Amira Shamsul & Khalid Jimat

Debaran kian terasa menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) yang bakal berlangsung pada bulan November. Dua parti paling dominan di AS - Demokrat dan Republikan, sedang bertungkus-lumus mendapatkan sokongan pengundi. Pengundi komuniti Muslim antara yang menjadi rebutan.

Walaupun populasi Muslim di AS sekitar satu peratus sahaja, majoriti mengundi di negeri-negeri ‘swing states’ seperti Georgia, Pennsylvania dan Michigan. Negeri-negeri ini sering menjadi penentu kemenangan seseorang calon presiden.

Genosid yang masih tidak berkesudahan di Gaza dijangka menjadi antara penentu tahap sokongan pengundi Muslim di negeri-negeri ini.

Mana-mana calon yang mengharapkan undi mereka harus mengambil berat tentang harapan dan tuntutan mereka yang mahu pertumpahan darah di Palestin berakhir dengan segera.

Pada tahun 2020, sebanyak 65 peratus pengundi Muslim telah memberikan sokongan dan undian kepada Biden. Sokongan ini telah membawa kepada kemenangan Biden ke atas Trump di beberapa ‘swing states’.

Biden menang di Georgia dengan majoriti 12,000 undi. Negeri ini mempunyai seramai 61,000 pengundi Muslim.

Di Pennsylvania pula, Biden menang dengan majoriti sebanyak 81,000 undi dengan 125,000 pengundi Muslim di kawasan tersebut keluar mengundi. Berdasarkan statistik ini, sokongan Biden ke atas genosid rejim Zionis di Gaza berisiko mengakibatkan parti Demokrat kehilangan undi pengundi Muslim di Georgia dan Pennsylvania.

Risiko ini telah pun dizahirkan ketika undian ‘Presidential Primaries’ parti Demokrat pada Februari 2024 di bandar Michigan.

Undian di negeri yang turut dikenali sebagai ‘the capital of Arab America’ ini menyaksikan seramai 100,000 pengundi telah memutuskan untuk tidak mengundi mana-mana calon (uncommitted) bagi menyampaikan mesej dan bantahan mereka terhadap Biden supaya segera mengubah pendirian terhadap genosid di Gaza.

Jika tidak, Biden dan parti Demokrat berisiko kehilangan undi mereka.

Pengunduran Biden dan pelantikan Kamala Harris sebagai pengganti calon presiden parti Demokrat dilihat oleh sebahagian pihak sebagai reaksi Demokrat kepada mesej tersebut. Ini khususnya selepas Harris dilihat mempamerkan pendirian yang sedikit berbeza dengan Biden yang secara terang-terangan memproklamasi dirinya sebagai seorang Zionis.

Dalam ucapan sulung beliau selepas Biden mengumumkan pengunduran daripada menjadi calon presiden Demokrat, Harris menegaskan bahawa beliau tidak akan “berdiam diri” (I will not be silenced) dalam isu Gaza.

Beliau memberi jaminan akan terus menyokong usaha untuk mengembalikan “maruah, keselamatan, kebebasan dan juga hak penentuan nasib sendiri” kepada rakyat Palestin.

Beliau bahkan memilih untuk tidak hadir ke sesi ucapan Netanyahu di Kongres AS sebagai simbolik kepada pendirian beliau dalam hal ini.

Selain daripada itu, Harris turut melantik seorang peguam berketurunan Afghanistan, Nasrina Bargzie untuk menarik sokongan pengundi Muslim. Beliau juga turut melantik seorang peguam dan bekas pegawai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri berketurunan Arab Mesir, Brenda Abdelall untuk mengetuai kempen beliau mendekati pengundi-pengundi Arab Amerika (NDTV 2024).

Dalam satu temubual bersama Nasser Beydoun, seorang ahli parti Demokrat dari Michigan dan bekas calon senator, beliau menyifatkan pintu kini terbuka luas buat Kamala Harris untuk memenangi semula sokongan pengundi Arab dan Muslim dengan syarat beliau harus menjadi lebih proaktif terhadap kebimbangan yang disuarakan oleh komuniti ini.

Harris lagi baik banding Trump

Beliau berkata masyarakat Arab dan Muslim di AS secara tradisinya merupakan pendukung terbesar parti Demokrat tetapi mereka kecewa dengan kegagalan pentadbiran Biden-Harris menamatkan genosid di Gaza (Hanania 2024).

Mengikut tinjaun Arab American Anti-Discrimination Committee pada Julai 2024, 27.5 peratus pengundi Arab-Muslim di AS memilih Harris berbanding Trump 2 peratus.

Harris dilihat sebagai ‘the lesser evil’ berbanding Trump yang secara terang-terangan berkata beliau akan membenarkan Netanyahu untuk ‘finish the job’ (menamatkan objektif perangnya) di Gaza (Al-Merazi 2024).

Walau bagaimanapun, aktivis pro-Palestin menuntut Harris dan parti Demokrat mengambil langkah lebih proaktif berbanding sekadar beretorik dan mengubah intonasi di dalam ucapan. Mereka mahu Harris berjanji akan untuk menghentikan sokongan ketenteraan yang tidak berbelah bahagi kepada Israel sekaligus menamatkan genosid di Gaza.

Tindakan ‘simbolik’ dan kata-kata manis tidak cukup untuk memenangi semula hati pengundi yang memilih parti Demokrat pada tahun 2020.

Malangnya, ucapan Harris ketika Democratic National Convention (DNC) baru-baru ini membayangkan tiada perubahan signifikan yang dapat dilihat oleh pengundi Muslim di AS terhadap dasar parti Demokrat dalam isu Gaza.

Semua yang beliau sebutkan ketika DNC tidak jauh berbeza dengan apa yang pernah dikatakan oleh Biden. Yang berbeza hanyalah Biden tidak memasukkan sebarang nilai simpati kepada rakyat Palestin manakala Harris berjaya menonjolkan imej beliau sebagai seorang pemimpin yang bersimpati dengan nasib rakyat Palestin walaupun sekadar cakap-cakap kosong (Plitnick 2024).

Ketika mengulas semua usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan Biden-Harris untuk mencapai gencatan senjata, membebaskan baki tawanan, dan menamatkan pertumpahan darah di Gaza, Harris mengulangi mantra presiden-presiden AS sebelum ini untuk terus membantu dan mempertahankan keselamatan Israel walau apa pun yang berlaku.

Tiada kemungkinan untuk beliau menggantung penghantaran senjata kepada rejim Zionis Israel seperti gesaan kebanyakan aktivis Demokrat dari negeri-negeri yang mempunyai jumlah pengundi Arab dan Muslim yang besar (Smolar 2024).

Benarlah telahan Profesor Jeffrey Sachs bahawa sistem politik AS masih berada di dalam tangan lobi Israel. Justeru, sukar untuk mana-mana calon presiden AS baik Demokrat mahu pun Republikan untuk berpaling sepenuhnya daripada dasar menyokong sekutu kuat mereka, Israel.

Kempen Harris bahkan semakin tercalar di kalangan pengundi Arab-Muslim apabila parti Demokrat menghalang wakil rakyat Palestin-Amerika untuk berucap di DNC - seperti Ruwa Romman, wakil komuniti Muslim dari Georgia dan Abbas Alawiyeh yang merupakan antara pelopor kepada gerakan ‘uncommitted’ dari Michigan.

Tak undi Harris, Trump

Tambah parah, sebaik sahaja Harris berucap di pentas DNC, kebanyakan ‘content creator’ yang sebelum ini menyokong Harris telah menurunkan ‘content’ mereka. Sebahagian bahkan mahu memboikot pilihan raya atau mengundi Dr Jill Stein, calon presiden daripada Green Party.

Laporan terbaru yang diterbitkan oleh Council on American-Islamic Relations (Cair) menunjukkan majoriti pengundi Muslim telah mengambil keputusan untuk tidak memberikan undi kepada calon Republikan, Donald Trump mahupun calon Demokra, Kamala Harris.

Sebanyak 29 peratus pengundi Muslim berkata mereka merancang untuk memberikan undi mereka kepada Stein yang memiliki dasar yang jelas untuk menamatkan genosid di Gaza dan menghentikan penjajahan Israel di Tebing Barat (Farooq 2024).

Masihkah ada ruang untuk Harris menarik undi pengundi Arab dan Muslim di AS?

Debat presiden yang akan berlangsung pada 10 September dilihat sebagai satu lagi peluang untuk Harris mengubah pendirian pengundi Muslim.

Adakah Harris akan mengambil kesempatan ini untuk menyatakan pendirian yang lebih tegas terhadap Israel bagi memastikan genosid di Gaza dapat ditamatkan? Sama-sama kita nantikan.

NADIA AMIRA SHAMSUL, KHALID JIMAT aktivis Palestine Centre of Excellence (Pace). Ni

Tiada ulasan: