"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penyelia restoran rasuah pegawai Imigresen didenda RM40,000

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
bhnews@bh.com.my
Heng Siou Wei didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah merasuah pegawai Imigresen bagi mengelakkan tindakan ke atas 10 pekerja asing. - Foto NSTP/ L Manimaran
Heng Siou Wei didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah merasuah pegawai Imigresen bagi mengelakkan tindakan ke atas 10 pekerja asing. - Foto NSTP/ L Manimaran
IPOH: Seorang penyelia restoran didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merasuah pegawai Jabatan Imigresen (Imigresen) bagi mengelakkan tindakan ke atas 10 pekerja di bawah seliaannya.

Pekerja itu tidak mempunyai pas yang sah untuk berada di Malaysia selain melanggar syarat pas, semalam.

Heng Siou Wei, 33, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad sejurus pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah ke atasnya dalam bahasa Mandarin, dengan hakim menetapkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan pilihan itu, wanita berkenaan memberi suatu suapan berupa wang tunai RM15,000 kepada seorang pegawai kanan Imigresen Perak sebagai suatu balasan baginya untuk tidak mengambil tindakan perundangan terhadap beberapa pekerja di restoran yang diselia tertuduh.

Pekerja didapati tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk berada di Malaysia di bawah kesalahan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan melanggar syarat pas atau permit di bawha Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63.

Perbuatan itu adalah kesalahan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Imigresen Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) dekat Bandar Meru Raya, di sini kira-kira jam 3 pagi semalam.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor serta Pegawai Pendakwa SPRM, Sharul Azuan Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes restoran yang diselia tertuduh dimiliki bapa tertuduh dan terletak di Teluk Intan dengan 10 pekerja warga asing termasuk seorang wanita melakukan kesalahan imigresen.

Pengadu kes iaitu pegawai Imigresen sudah memberi amaran kepada tertuduh tatkala tertuduh cuba menawar memberikan wang tunai RM15,000 supaya pekerja dilepaskan.

Selain hukuman yang dijatuhkan, Ainul Shahrin turut menetapkan wang rasuah berjumlah RM15,000 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia mengikut Seksyen 40(1)(a) Akta SPRM 2009.

Tiada ulasan: