"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rumah amal GISBH: Gempar diajar cara seks luar tabii, polis selamatkan 402 kanak-kanak dan remaja

Harapandaily

Gempar apabila rumah amal dikaitkan ‘Global Ikhwan Service and Business Holding’ (GISBH) dilapor mengajar cara seks luar tabii.

Polis mendedahkan modus operandi di rumah amal itu termasuklah mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.

Menerusi Op Global antara jam 6 hingga 11 pagi hari ini, polis menyelamatkan seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun.

Mereka diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.

Mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan terbabit dilapor terdiri daripada 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, kumpulan itu disyaki melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.

Selain diliwat dan meliwat, Razarudin memberitahu mangsa yang tidak sihat juga tidak dibenarkan untuk mendapatkan rawatan di klinik sehingga keadaan mereka menjadi kritikal.

“Mangsa kanak-kanak dan sentimen agama digunakan untuk menagih simpati bagi mendapatkan sumbangan.

“Menggunakan objek yang dipanaskan bagi mencederakan mangsa sebagai tanda menghukum atas kesilapan yang dilakukan.

“Selain itu. menyentuh tubuh mangsa dengan alasan melakukan rawatan secara perubatan Islam,” katanya dalam sidang media ‘Op Global’ di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, hari ini.

‘Op Global’ membabitkan kekuatan 705 pegawai dan anggota polis itu turut dibantu 287 rakan strategik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kimia Malaysia bagi membanteras kegiatan jenayah itu.

Beliau berkata, siasatan ‘OP Global’ setakat ini menjurus kepada kesalahan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611]; Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 [792]; Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] Kanun Keseksaan [Akta 574] dan undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa.

“Dalam tempoh 2011 hingga 7 September lalu, polis telah menerima 41 laporan polis terhadap kumpulan perniagaan itu termasuk 19 di Selangor, Negeri Sembilan (13), Perlis (1), Kedah (3),Pulau Pinang (2), Kuala Lumpur (1), Melaka (1), Johor (5),Pahang (2), Terengganu (1) dan Sabah (1),” katanya lagi.

Tiada ulasan: