"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita didenda RM700, benarkan anak 10 tahun pandu kereta

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
WANITA (kanan) didenda RM700 selepas bersalah membenarkan anaknya berusia 10 tahun memandu kereta. FOTO Ahmad Hasbi.
WANITA (kanan) didenda RM700 selepas bersalah membenarkan anaknya berusia 10 tahun memandu kereta. FOTO Ahmad Hasbi.
Seremban: Pekerja pembersihan didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret Trafik, di sini, hari ini, atas tuduhan membenarkan anaknya yang berusia 10 tahun memandu kereta, awal bulan lalu.

Hukuman dijatuhkan Majistret Marlissa Mohd Fahmy selepas wanita berusia 46 tahun itu membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemilik kereta jenis Toyota Corolla telah membenarkan kanak-kanak berusia 10 tahun memandu kenderaan berkenaan di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian pada 9 malam, 3 September lalu.

Perbuatan itu suatu kesalahan di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah peruntukan sama, yang memperuntukkan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Wanita itu yang tidak diwakili peguam merayu supaya dikenakan denda rendah kerana berpendapatan RM1,500 sebulan dan menanggung tiga anak yang masih bersekolah serta suami yang sakit.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya M Pusppa meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran kepada tertuduh, mengambil kira keseriusan kesalahan dilakukan.

Tambahnya, perbuatan itu bukan hanya membahayakan diri kanak-kanak itu, malah merisikokan keselamatan orang awam dengan ketika kejadian, anak wanita itu turut membawa seorang lagi kanak-kanak berusia sembilan tahun.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh didenda RM700 atau dipenjara tujuh hari jika gagal membayar denda itu.

Media sebelum ini melaporkan dereta dipandu kanak-kanak berusia 10 tahun terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain dalam kejadian di Taman Arowana Impian.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, kereta jenis Toyota Corolla terbabit turut dinaiki seorang lagi kanak-kanak berusia sembilan tahun.

Tiada ulasan: