KOSMO

Buah-buahan yang dituai dari ladang Israel disusun di gudang penyimpanan sejuk di kampung Goron pada 22 Oktober 2023. - AFP
TEL AVIV – Eksport pertanian Israel merosot akibat boikot global yang semakin meluas, sebahagian besarnya didorong oleh tindak balas terhadap perang genosid Tel Aviv di Gaza, lapor laman berita Al Mayadeen semalam.
Saluran berita Kan 11 memetik laporan penulis blog Israel, Jonathan Ofir dalam laman berita Mondoweiss yang mendedahkan penurunan mendadak permintaan untuk buah mangga dan buah-buahan sitrus, dengan petani Yahudi memberi amaran tentang keruntuhan kewangan yang akan berlaku.
Dalam beberapa temu bual, pengeksport mengatakan, buah-buahan dari Israel ditolak oleh pembeli Eropah yang hanya mempertimbangkan untuk membelinya jika tiada alternatif lain.
Seorang petani Israel menyatakan dengan jelas: “Mereka tidak mahu mangga kami.”
Memburukkan lagi krisis itu adalah sekatan Laut Merah oleh kumpulan Houthi di Yemen, yang mengganggu laluan perkapalan ke pasaran Asia. Ia meningkatkan kos logistik dan melambatkan penghantaran selama berbulan-bulan.
Walaupun tiada faktor tunggal yang menyebabkan kejatuhan pasaran eksport buah-buahan Israel, faktor paling konsisten disebut dalam laporan Kan 11 adalah kemarahan global terhadap pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Kesan ekonomi sudah pun dirasai di hab pertanian utama seperti Kibbutz Givat Haim Ichud dan Kibbutz Ein Hahoresh, di mana peneroka haram Yahudi menggambarkan kerugian eksport sebagai tidak mampan.
“Buah Israel walaupun berkualiti tinggi, kini kurang permintaan di Eropah,” kata seorang peneroka Yahudi.
Beberapa peneroka lain melaporkan tentang buah mereput, gudang kosong dan kerugian kewangan yang ketara.
Penanam mangga dan jeneral bersara, Moti Almoz berkata, dia terpaksa membiarkan 25 peratus daripada keseluruhan tanamannya tidak dituai. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan