"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiga pegawai imigresen, peniaga kedai makan didakwa

Bernama 

Tertuduh ketika berada di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU: Tiga pegawai Imigresen dan seorang pemilik kedai makan hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan rasuah membabitkan caturan kaunter atau counter setting di Pasir Gudang dan Muar sekitar tahun 2023 hingga Februari tahun lepas.

Md Azhar Jamal, 40, Ridzal Mohd Yasin, 43, Hairizam Mohamed, 58, dan Haslan Hazilah, 57, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Md Azhar berdepan 14 pertuduhan menerima rasuah antara RM400 hingga RM4,500 dengan jumlah keseluruhan RM28,600 tanpa balasan daripada seorang wanita secara pindahan dalam talian.

Mengikut pertuduhan, dia melakukan perbuatan itu sebagai penjawat awam yang bertanggungjawab menyemak dan memastikan dokumen perjalanan warga asing untuk tujuan keluar masuk ke negara Malaysia adalah sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Simpang Renggam, Kluang antara 16 Julai 2024 hingga 24 Feb 2025 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ridzal pula berdepan dua pertuduhan menerima rasuah dengan jumlah keseluruhan RM1,700 daripada seorang ejen lelaki sebagai upah untuk tidak melakukan pemeriksaan yang menyeluruh ke atas dokumen perjalanan warga Indonesia di sebuah tandas berhampiran kaunter Imigresen Terminal Feri Pasir Gudang pada April dan Ogos 2023.

Hairizam, yang bertugas di Bahagian Kawalan Operasi (Laut) Terminal Feri Pasir Gudang, didakwa menerima rasuah berjumlah RM100 daripada seorang lelaki bagi memudah cara urusan kemasukan pengembara warga Indonesia ke Malaysia di pejabat Imigresen Pasir Gudang pada 7 petang 28 Ogos 2024.

Sementara itu, Haslan didakwa menerima rasuah berjumlah RM1,200 daripada seorang lelaki sebagai dorongan menjadi orang tengah untuk membantu memudah cara urusan keluar masuk pengembara warga Indonesia di sebuah kedai makan di Muar pada 11 Nov 2024

Ridzal dan Hairizam didakwa mengikut Seksyen 16(a) (A) dan (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Ameera D'Aneez Mohd Shukari, Fazal Lisam Abidin dan Muhd Faizul Kamaro Zaman manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Abd Rahim Ali, Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri, Suhaila Shafi'uddin serta Nurashidah Md Razip.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 ke atas Md Azhar manakala Ridzal, Hairizam dan Haslan diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain melaporkan diri sebulan sekali di ibu pejabat SPRM berdekatan.

Ahmad Kamal Arifin menetapkan 24 dan 25 Feb untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: