"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga Indonesia dipenjara 2 bulan, berkelakuan tidak senonoh depan jururawat

Abdul Rahemang Taiming
Umrah Anton Sampe Limbong dipenjara dua bulan kerana melakukan perbuatan tidak senonoh di hadapan seorang jururawat. – Foto NSTP
TAWAU: Seorang lelaki warga asing dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan tidak senonoh di hadapan seorang jururawat ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik di sini, bulan lalu.

Tertuduh, Umrah Anton Sampe Limbong, 28, yang juga pemegang pasport Indonesia membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum, yang memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh sabitan hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh di hadapan seorang jururawat wanita sehingga menyebabkan ketakutan kepada mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah klinik di sini pada jam 9 pagi, 18 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh datang ke klinik berkenaan untuk mendapatkan rawatan selepas mengadu mengalami sesak nafas dan sakit dada.

Doktor kemudian mengarahkan pemeriksaan elektrokardiogram (ECG) dijalankan sebelum jururawat terbabit membawa tertuduh ke bilik pemeriksaan bagi membuat persiapan prosedur berkenaan.

Bagaimanapun, ketika jururawat sedang menyediakan mesin ECG, tertuduh secara tiba-tiba melakukan perbuatan tidak senonoh.

Mangsa yang ketakutan kemudian keluar dari bilik pemeriksaan sebelum memaklumkan kejadian itu kepada doktor bertugas, sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Pasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan tertuduh di lokasi kejadian.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada ulasan: