"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ketua Pemuda Umno ‘kantoi’ bab KDNK, saiz ekonomi dan pertumbuhan pun tak reti beza

Harapandaily

HARRIS NASRIL

“Nak jadikan Johor macam Selangor dan Pulau Pinang ni macam pelik pula. KDNK Johor nombor satu, 8 peratus. Kenapa nak jadikan tangga kedua atau ketiga?”

Itu soalan Dr. Akmal dalam satu video yang dimuat naik di Facebook beliau pagi tadi.

Beliau mengulas kenyataan calon Pakatan Harapan (PH) DUN Senggarang, Onn Abu Bakar. Jangan keliru dengan Datuk Onn Hafiz pula, ya.

Sebelum ini, Onn Abu Bakar dilaporkan berkata, dengan pengalaman yang ada di Selangor dan Pulau Pinang, beliau yakin PH mampu membantu membangunkan Johor dengan lebih baik daripada keadaan sekarang.

Jadi, betulkah dakwaan Dr. Akmal itu?

Betulkah KDNK Johor lebih tinggi daripada Selangor dan Pulau Pinang?

Jawapannya mudah. Tidak benar.

Dr. Akmal sebenarnya tersilap. Barangkali beliau keliru antara nilai KDNK (keluaran dalam negara kasar) dengan kadar pertumbuhan KDNK.

Mari kita rujuk semula kenyataan DOSM semalam.

“Semua negeri mencatat pertumbuhan ekonomi positif pada 2025, dengan Johor 8.0%, Pulau Pinang 7.3%, Selangor 6.3% dan Perak 5.7%, mengatasi kadar pertumbuhan nasional 5.2%.”

Melalui kenyataan itu, MB Johor Onn Hafiz juga mengeluarkan satu jadual semalam dengan memetik angka pertumbuhan negeri-negeri tersebut. (Jadual ini yang disertakan dalam video Yb Akmal)

“Syukur Alhamdulillah. Johor terus mencatat satu lagi pencapaian memberangsangkan apabila merekodkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia bagi tahun 2025, iaitu 8.0 peratus, mengatasi kadar nasional sebanyak 5.2 peratus,” kata Onn Hafiz di Facebook beliau.

Nampaknya Onn Hafiz pun faham.

Yang disebut ialah pertumbuhan KDNK, bukan nilai KDNK.

Tetapi entah macam mana, apabila dipetik oleh Dr. Akmal, “pertumbuhan KDNK nombor satu” terus bertukar menjadi “KDNK Johor nombor satu”.

Itu dua benda berbeza.

Jauh lebih besar

Nak bagi mudah faham, nilai KDNK ini macam jumlah gaji pokok. Pertumbuhan KDNK pula macam peratus kenaikan gaji.

Gaji pokok Selangor masih jauh lebih besar.

Menurut data DOSM, nilai KDNK Selangor ialah yang tertinggi di Malaysia, mencecah RM460.1 bilion.

Selepas itu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan RM265.1 bilion. Johor pula berada di tangga ketiga dengan nilai RM170.9 bilion.

Maksudnya, saiz ekonomi Selangor hampir tiga kali ganda lebih besar daripada Johor.

Cuma pada tahun tersebut, Johor mencatatkan kadar pertumbuhan paling tinggi, iaitu 8.0%.

Dalam bahasa kampung, Johor bukan “gaji paling besar”. Johor cuma “kenaikan gaji paling tinggi” untuk tahun itu.

Jadi, apabila Dr. Akmal kata KDNK Johor sudah nombor satu, kemudian bertanya kenapa mahu jadikan Johor tangga kedua atau ketiga, hujah itu memang kurang tepat dari sudut fakta ekonomi.

Johor memang sedang berkembang laju. Itu bagus. Itu kita akui.

Tetapi jangan pula pertumbuhan 8.0% itu dibaca seolah-olah saiz ekonomi Johor sudah mengatasi Selangor.

Sebagai Ketua Pemuda Umno, Exco Negeri dan pemimpin muda yang selalu bercakap soal fakta, mungkin Dr. Akmal boleh semak semula nasihat yang beliau sebut pada akhir video beliau tadi:

“Sebelum kita buat kenyataan tu, buatlah berdasarkan fakta. Keluarkanlah fakta, baru rakyat boleh lihat kita ni bijak.” – YB Akmal.

Jadi, sekarang bagaimana? Tak pasti jangan kongsi kah? Nampak bijak kah kalau begini?

Tiada ulasan: