"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tular wanita paksa, rotan anak kecil jual dadih di Kota Warisan

KOSMO!
Tangkap layar video tular tersebut dipercayai berlaku di Kota Warisan, Sepang.
PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita yang didakwa memaksa dan memarahi anak perempuannya menjual dadih di sebuah premis  makanan mengundang kecaman ramai selepas video kejadian itu tular di media sosial, hari ini.

Menerusi hantaran yang dikongsi di Threads @Bear.6526560, kejadian dipercayai berlaku di Kota Warisan, Sepang.

Pemilik video mendakwa wanita terbabit menyuruh anaknya yang masih kecil dipercayai bawah usia tujuh tahun menjual dadih di kawasan premis makanan sekitar pukul 1 petang.

Bagaimanapun, wanita berkenaan didakwa memarahi kanak-kanak perempuan itu apabila jualan tidak seperti diharapkan.

“Suruh anak yang jualkan makanan padahal mak dalam kereta je main telefon sambil pegang rotan entah apa-apa.

“Bila ditanya.. sibuk cakap cakap dia didik anak dia macam tu bagai. Aku nampak dia sebat anak dia tanpa ada sebab, kasihan lah anak kau tu. Dah pandai buat.. pandai tanggung lah pandai,” tulis pemilik video itu.

Kelihatan di dalam sebuah video lain, seorang wanita dipercayai ibu kepada kanak-kanak tersebut berpakaian merah jambu dilihat cuba menjelaskan perkara sebenar kepada beberapa individu di kawasan parkir.

Perkongsian itu menerima lebih 87,000 tontonan dalam tempoh beberapa jam dan dibanjiri komen netizen yang meluahkan kebimbangan terhadap kebajikan kanak-kanak terbabit.

Rata-rata pengguna media sosial menggesa pihak berkuasa, khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), menyiasat kejadian itu sekiranya benar berlaku unsur pengabaian atau penderaan terhadap kanak-kanak berkenaan.

Beberapa pengguna lain juga yang berada sekitar kawasan tersebut turut berkongsikan pengalaman sama pernah terserempak dengan kenderaan dan kanak-kanak tersebut.

“Mak dia siap ada rotan ‘sedia’ dalam kereta untuk anak dia ya kau orang. Suruh anak kecik jual dadih RM15 satu plastik,” komen Nursyahmi.

“Persoalannya, betul ke tu anak dia? Kena siasat segera, kita kalau anak sendiri pun tak tergamak nak suruh berniaga susah-susah,” komen Wen.

“Kena buat macam ini. Rekod biar orang tengok. Biar mak pak sedar sikit. Gunakan anak. Budak tu kecik lagi. Ni zaman dia belajar, main macam budak lain. Jadah nak ajar dia niaga,” komen Yana.

“Pegang rotan? Bayangkan apa nasib dia hari-hari dekat rumah ya Allah, semoga JKM bertindak segera,” komen Raven. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: