"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki dipenjara 32 tahun, disebat 12 kali kerana bunuh kekasih

Bernama

Amirul Amin Amirruddin, 23, didakwa tekup muka Nurul Shahira Abdullah, 24, hingga mati dalam kejadian pada Ogos 2022.
AMIRUL AMIN AMIRRUDDIN
Amirul Amin Amirruddin, 23, dijatuhi hukuman selepas hakim Mahkamah Tinggi Klang putuskan pihak pendakwaan berjaya bukti kes melampau keraguan munasabah terhadapnya di akhir kes pembelaan. (Gambar Bernama)
KLANG: Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara 32 tahun dengan 12 sebatan terhadap seorang lelaki yang didapati bersalah membunuh teman wanitanya dengan menekup muka mangsa menggunakan bantal, empat tahun lepas.

Hakim Norliza Othman membuat keputusan itu selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampau keraguan munasabah terhadap Amirul Amin Amirruddin, 23, di akhir kes pembelaan.

Beliau memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 24 Ogos 2022.

Amirul Amin didakwa membunuh Nurul Shahira Abdullah, 24, di sebuah rumah di Kampung Sri Pandan, Klang pada 7.18 petang, 24 Ogos 2022 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak lebih 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, boleh juga dikenakan hukuman sebatan tidak kurang 12 sebatan rotan.

Norliza ketika membaca alasan penghakiman berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas ditekup dengan bantal dan disahkan pakar patologi yang bertindak sebagai saksi pendakwaan.

Ketika pemeriksaan balas, katanya, tertuduh mengakui ketika menekup muka si mati, dia melihat si mati bernafas dengan perlahan serta tersekat dan tindakannya itu adalah bagi menghentikan perlakuan agresif si mati.

“Tertuduh juga tahu tindakan itu boleh menyebabkan si mati tidak boleh bernafas (apabila) seluruh muka telah ditutup dengan bantal kerana manusia hanya bernafas melalui hidung.

“Tertuduh kemudian menghentikan perbuatan itu selepas mendapati mangsa tidak lagi melawan dan bernafas,” katanya

Norliza berkata, perbuatan tertuduh itu bermula daripada pergaduhan antara mereka berikutan dia enggan menandatangani surat perjanjian supaya tidak meninggalkan mangsa.

Tertuduh juga bersetuju dengan cadangan pihak pendakwaan semasa pemeriksaan balas bahawa tiada cara lain bagi menenangkan si mati selain menekup menggunakan bantal.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Aqilah Ahmad Fuad manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Norazihan Adnan dan Evie Melynda Jee.

Pada 17 Okt 2025, mahkamah sama menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap Amirul Amin di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan berjaya dalam rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap hukuman itu dan mahkamah itu memerintahkan tertuduh membela diri di Mahkamah Tinggi Klang di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: