Kirthana Arumugam
Dr Solehin Saleh iaitu abang kepada Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh antara calon dipertaruhkan Bersama.
Pemimpin Bersama Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata parti itu sebagai satu ‘jenama baharu’ mempunyai lebih banyak kerja yang perlu dilakukan untuk memperkenalkan diri kepada pengundi.
PETALING JAYA: Bersama mengumumkan bertanding 15 kerusi pada PRN Melaka akan datang, kata pemimpin parti Nik Nazmi Nik Ahmad.
Pilihan yang mengejutkan ialah Dr Solehin Saleh, abang kepada ketua Pemuda Umno yang juga Adun Merlimau, Dr Akmal Saleh. Solehin akan bertanding atas tiket Bersama di Bemban.
Nik Nazmi berkata Bersama, sebagai satu ‘jenama baharu’, mempunyai lebih banyak kerja yang perlu dilakukan untuk memperkenalkan dirinya kepada pengundi.
“Kita umum calon lebih awal supaya mereka dapat memperkenalkan diri kepada pengundi dengan lebih pantas. Anda pasti terkejut dengan impak yang boleh dicapai apabila menemui pengundi di lapangan lebih awal,” katanya pada himpunan malam tadi.
PRN Melaka seterusnya dijadual selewat-lewatnya pada akhir Februari 2027, namun Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh dilaporkan, berkata ia mungkin diadakan seawal September.
Penampilan julung kali Bersama adalah pada PRN Johor 11 Julai lalu, di mana semua 15 calonnya tewas dan hilang deposit.
Berikut calon Bersama menjelang PRN Melaka:
N01 Kuala Linggi – Ruzsyahriman Jenal
N06 Rembia – Aman Akil Abdul Talib
N07 Gadek – B Laveen
N08 Machap Jaya – B Prasanth Kumar
N11 Sungai Udang – Ridzuan Abdul Rahman
N13 Paya Rumput – Abdul Rashid Abu Bakar
N14 Kelebang – Yong Jie Yu
N15 Pengkalan Batu – Goh Han Koon
N16 Ayer Keroh – Muhaimin Lau Abdullah
N17 Bukit Katil – Aliza Che Amran
N19 Kesidang – Bryan Kek
N20 Kota Laksamana – Ethan Lim
N23 Telok Mas – Hazwan Mustafa
N24 Bemban – Dr Solehin Saleh
N26 Serkam – Saffie Yasan
Sementara itu, pemimpin Bersama Rafizi Ramli berkata 15 kerusi ditandingi sudah cukup membentuk kerajaan negeri jika menang semuanya.
“Di Melaka, untuk membentuk kerajaan majoritinya ialah 15. Jadi, kalau korang semua undi kita menang 15, insyaAllah ada ketua menteri Kancil dekat Melaka,” katanya.
Rafizi berkata, Bersama sudah mula menyediakan manifestonya untuk Melaka dan akan memperkenalkannya pada acara kempen pertama pada malam hari penamaan calon.
“Kami mahu mengelak daripada menjadi seperti parti utama lain, di mana hari penamaan calon tiba dan mereka menunggu seminggu lagi untuk melancarkan manifesto kerana masuk bertanding tanpa menyiapkannya terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata, Bersama akan merangka manifestonya bersama calon bagi memastikan ia menawarkan ‘yang terbaik’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan