V Anbalagan
PUTRAJAYA: Seorang lelaki berusia 76 tahun akan terus menjalani hukuman penjara 15 tahun selepas Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak rayuan terakhirnya terhadap sabitan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun pada 2018.
Hakim Noorin Badaruddin yang mengetuai panel tiga hakim berkata tiada alasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Ramli Mat oleh Mahkamah Sesyen awal tahun ini.
“Hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah bicara adalah dikekalkan,” kata Noorin yang bersidang bersama Hakim Radzi Abdul Hamid dan Meor Hashimi Abdul Hamid.
Ramli, yang bujang dan penerima bantuan kebajikan, melakukan kesalahan itu terhadap mangsa di sebuah rumah tanpa nombor di daerah Arau, Perlis, antara jam 6.30 petang hingga 7.30 malam pada 17 Disember 2018. Ketika itu, dia berusia 69 tahun.
Pada 14 Mac tahun lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan terhadapnya, seperti yang diperuntukkan undang-undang bagi pesalah seksual.
Ramli yang sebelum ini dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu keputusan perbicaraan, mula menjalani hukuman penjara itu tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang berkata mangsa yang memberi keterangan ketika berusia 12 tahun, mengenal pasti Ramli dengan jelas sebagai pelaku dan keterangannya turut disokong oleh penemuan perubatan.
“Pembelaan yang dikemukakan perayu hanyalah penafian,” katanya.
Bagaimanapun, peguam Norharniza Rusli berhujah terdapat keraguan sama ada Ramli benar-benar merogol kanak-kanak itu, dengan alasan bukti perubatan semata-mata tidak mencukupi untuk membuktikan dia adalah pelakunya.
Beliau turut memohon mahkamah mengurangkan hukuman mengambil kira usia Ramli yang lanjut.
Eyu pula memohon panel mengekalkan hukuman penjara berkenaan yang disifatkannya selaras dengan trend hukuman bagi kesalahan seumpama itu.
Beliau turut memaklumkan mahkamah bahawa Ramli boleh dikecualikan daripada sebatan sekiranya didapati tidak sihat dari segi perubatan ketika hukuman itu hendak dilaksanakan, atau sekiranya permohonan pengecualian dikemukakan kepada mahkamah kemudian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan