Azizi Majid
am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Lelaki warga asing berusia 56 tahun yang didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur penghinaan terhadap agama Islam dalam video tular akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arshad berkata, suspek ditahan pada 4.15 petang Selasa lalu oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dengan bantuan Polis Singapura.
"Turut dirampas daripada suspek ialah sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan.
"Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing juga didapati negatif daripada sebarang jenis dadah," katanya.
Menurutnya, suspek sebelum ini direman selama empat hari bermula Rabu lalu dan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM).
"Bagaimanapun, selepas kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor semalam, arahan diberikan supaya suspek dituduh mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu menyebut perkataan yang boleh melukakan agama mana-mana orang.
"Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau komen yang menyentuh sensitiviti agama kerana ia berpotensi mencetuskan ketegangan dan menjejaskan ketenteraman awam.
Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan