ADNAN IBRAHIM

Keadaan motosikal ditunggang mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 2.4 , Jalan Kluang - Teck Wah Heng, Kluang pagi tadi. Foto IHSAN POLIS
KLUANG – Seorang pekerja swasta maut manakala teman wanitanya parah selepas motosikal Yamaha Y16ZR yang ditunggang mereka terbabas sebelum melanggar tembok longkang di Kilometer 2.4, Jalan Kluang-Teck Wah Heng, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 5.30 pagi ketika mangsa, Chye Jia Chen, 21, bersama teman wanitanya berusia 16 tahun dalam perjalanan dari Simpang Renggam menghala ke bandar Kluang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati motosikal berkenaan tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan sebelum melanggar tembok parit yang berada di tepi jalan.
“Akibat kemalangan, mangsa yang tinggal di Taman Sentosa, Simpang Renggam mengalami kecederaan parah di leher, dada dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bahrin berkata, teman wanita mangsa yang berasal dari Jinjang Utara, Kuala Lumpur pula mengalami kecederaan di bahagian pinggul dan kepala.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat, manakala mangsa perempuan kini menerima rawatan di Zon Kuning hospital sama. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan