MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
IPOH – Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan dalam talian (online) yang disyaki memperdaya seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Kampar, di sini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, pada 31 Julai lalu, mangsa lelaki berusia 22 tahun telah menerima panggilan pihak yang menyamar sebagai wakil syarikat penghantaran dan mendakwa wujud kiriman mengandungi barangan terlarang atas nama mangsa.
“Panggilan tersebut yang disambungkan kepada pihak yang menyamar sebagai penguatkuasa undang-undang turut mendakwa mangsa terlibat dalam pengubahan wang haram.
‘Mangsa telah ditakutkan dengan tindakan tangkapan dan pendakwaan menyebabkan dia mengikut segala arahan sindiket itu dengan memindahkan wang tunai RM8,999 ke beberapa akaun selain meletakkan barangan kemas seperti rantai, cincin, subang dan gelang emas dengan nilai anggaran RM20,000 di atas tembok rumahnya di Kampar,” katanya, di sini hari ini.
Katanya, semua wang tunai tersebut didakwa akan diserahkan kembali setelah siasatan selesai.
“Mangsa sedar dirinya ditipu apabila kesemua wang tunai dan barang kemas tidak dikembalikan sebelum membuat laporan polis pada 1 Ogos lalu.
“Sebanyak lima serbuan telah dibuat di beberapa lokasi di Petaling Jaya, Kelana Jaya, Hulu Kelang dan Damansara pada Khamis lalu membawa kepada tangkapan tiga lelaki warga tempatan berusia 32 hingga 45 tahun,” katanya.
Menurutnya, polis turut merampas lapan unit kotak SIM Box, 11 unit Starlink, 509 keping kad sim, seunit komputer riba, dua unit penghala (router) dan lima unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan sindiket sebagai gerbang panggilan (call gateway) bagi membantu menguruskan laluan aliran komunikasi yang beroperasi dari luar negara.
“Ketiga-tiga suspek kini direman selama empat hari sehingga Isnin depan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan