FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang anggota dan pegawai polis peronda diberkas selepas disyaki meminta serta menerima rasuah hampir RM14,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan atas kesalahan lalu lintas di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2.
Anggota lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan sekitar 5.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut bersama seorang lagi pegawai polis peronda dari Januari hingga Julai 2026.
“Suspek dipercayai telah menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank pihak ketiga yang dipercayai digunakan suspek,” kata sumber memetik Bernama.
Lelaki itu kini direman lima hari hingga 20 Ogos selepas Majistret Ellyna Othman membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan pagi tadi.
Sementara itu, pegawai polis peronda lelaki berusia lingkungan 30-an yang ditahan pada 11 Ogos sebelum ini disambung reman empat hari hingga 19 Ogos.
Perintah lanjutan reman dikeluarkan majistret sama hari ini selepas permohonan reman pertama ke atas pegawai polis tersebut berakhir hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Mohamad Shukor Mahmud, mengesahkan penahanan dua suspek berkenaan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan