Agensi

Seorang individu memanjat tiang bendera untuk memasang bendera bulan bintang. - FOTO AFP
Ringkasan Berita
Banda Aceh: Majlis doa dan ingatan bagi memperingati Hari Pendamaian Aceh ke-21 di Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh, pada Sabtu dicemari kekecohan selepas terdapat kumpulan yang mengibarkan bendera bulan bintang di pekarangan masjid.
Menurut laporan Kompas.com, gangguan bermula apabila sekumpulan individu dari beberapa kawasan cuba menaikkan atau mengibarkan bendera bulan bintang di pekarangan Masjid Raya Baiturrahman.
Kejadian berlaku pada penghujung majlis peringatan Hari Pendamaian Aceh kira-kira jam 11 pagi, di mana ketika itu muncul seorang individu memanjat tiang bendera masjid dan melepaskan tali yang mengikat bendera Merah Putih serta membuang bendera itu ke bawah.
Tindakan itu serta-merta mencetuskan reaksi daripada pasukan keselamatan yang bertugas di lokasi.
Bagaimanapun, usaha pihak berkuasa untuk mengawal keadaan mendapat reaksi negatif daripada orang ramai.
Kompas melaporkan, tidak lama kemudian, dua individu membawa bendera bulan bintang dan memanjat tiang bendera masjid untuk memasang bendera berkenaan.
Namun, sebelum pemasangan bendera bulan bintang selesai, pihak berkuasa terlebih dahulu melepaskan tembakan ke udara bagi menghentikan aksi itu.
"Ketika itu berlaku kekecohan antara orang awam dan pihak berkuasa di mana segelintir individu melempar objek ke arah pihak berkuasa, lalu aksi kejar-mengejar berlaku antara kedua-dua pihak.
"Ketika pihak berkuasa berundur, penduduk memanjat semula tiang bendera dan berjaya menaikkan bendera bulan bintang," lapor Kompas.
Tidak lama kemudian, satu lagi kekecohan berlaku antara orang awam dan pihak berkuasa di mana beberapa individu sekali lagi melempar objek termasuk batu ke arah pihak berkuasa.
"Pihak berkuasa bertindak balas dengan melepaskan beberapa tembakan ke udara dan melepaskan gas pemedih mata ke arah orang ramai," lapor Kompas.

Seorang individu melepaskan kemarahan kepada anggota keselamatan yang bertugas. - FOTO AFP
Menurut laporan itu, kekecohan menyebabkan beberapa kenderaan yang diletakkan di sekeliling masjid mengalami kerosakan.
Penduduk Banda Aceh, Ibrahim, yang berada di kawasan berhampiran berkata, kumpulan itu tiba membawa bendera lambang bulan bintang.
"Mereka menyampaikan ucapan ringkas menyuarakan pelbagai rasa tidak puas hati terhadap kerajaan, salah satunya kegagalan memulihkan Aceh berikutan bencana pada hujung tahun lalu.
"Selesai ucapan, kumpulan itu menjalankan aksi mengibarkan bendera bulan bintang di beberapa lokasi di halaman masjid, termasuk pada tiang bendera.
"Aksi ini akhirnya mencetuskan kekecohan antara orang ramai dan pihak berkuasa.
Lemparan batu datang dari pelbagai arah, diiringi bunyi tembakan.
Ramai orang di sekitar lokasi kelihatan berlari untuk menyelamatkan diri," katanya.
Ibrahim berkata, dia berharap insiden itu tidak membawa kepada pergolakan lebih besar.
"Sangat mengecewakan keadaan ini berlaku ketika kita memperingati Hari Pendamaian Aceh. Saya berharap kumpulan itu dapat ditenangkan segera dan pihak berkuasa dapat mengendalikan keadaan dengan betul. Kita tidak boleh membiarkan konflik Aceh berulang," katanya.
Sementara itu, Ketua Bidang Hubungan Masyarakat Polis Aceh, Pesuruhjaya Joko Krisdiyanto, sewaktu ditemui pihak media, enggan mengulas panjang.
Beliau hanya menyampaikan harapan agar Aceh kekal damai dan kondusif.
Katanya, pihaknya belum dapat memberikan maklumat berhubung kumpulan yang mencetuskan kekecohan itu.
"Secara keseluruhannya, Aceh kekal damai, selamat dan kondusif," katanya.
Pada penghujung tahun lalu, banjir besar dan tanah runtuh melanda Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat susulan hujan lebat.
Data daripada Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB) menunjukkan bahawa setakat 31 Disember 2025, angka korban akibat bencana di ketiga-tiga wilayah berkenaan telah mencecah 1,141 orang, termasuk 514 kematian di Aceh.
Menurut laporan Reuters, berikutan bencana berkenaan, Sumatera memerlukan sebanyak 51.82 trilion rupiah (AS$3.11 bilion atau RM12.82 bilion) bagi tujuan pembinaan semula dan pemulihan selepas siri banjir maut.
Ketua Agensi Mitigasi Bencana Indonesia, Suharyanto berkata, dana pemulihan yang diperlukan di tiga wilayah Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat mungkin akan meningkat apabila agensi itu meneruskan pengiraan terhadap jumlah kerosakan yang berlaku.
Antara tiga wilayah yang terjejas, Aceh memerlukan dana paling banyak, berjumlah 25.41 trilion rupiah (RM6.27 bilion).
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan