FMT Reporters
PETALING JAYA: Mahkamah Majistret Tumpat menjatuhkan denda RM4,500 terhadap seorang bekas anggota polis selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengugut bunuh isterinya, minggu lalu.
Berita Harian melaporkan Sirrul Akmal Rasali, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi.
Dia didakwa melakukan ugutan bunuh terhadap isterinya berusia 42 tahun sehingga menyebabkan mangsa gerun atau takut di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat kira-kira 9 pagi 8 Ogos lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh mengamuk di dapur rumahnya dan bertindak agresif terhadap isterinya, dengan mengeluarkan kata-kata ugutan mahu membunuhnya sambil disaksikan ibu kandung serta anak kandung pengadu.
Bimbang dengan keselamatan diri, wanita itu menghubungi bilik gerakan IPD Tumpat sebelum tertuduh ditahan.
Hasil siasatan mendapati tertuduh tidak puas hati terhadap ibu mentuanya kerap mencampuri urusan rumah tangga mereka.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa polis, Megat Asyraf Megat Ishak yang memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh.
Tetapi, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Afiqah Amran memohon hukuman minimum atas alasan anak guamnya menyesal atas perbuatan itu dan hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM50 sehari.
Tertuduh juga mempunyai dua anak masih bersekolah, selain mengalami masalah mental dan mendapatkan rawatan psikiatri d Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.
Mahkamah menjatuhkan denda RM4,500 atau sembilan bulan penjara, jika gagal membayar denda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan