FMT Reporters
PETALING JAYA: Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas tuduhan membunuh seorang ahli perniagaan yang mayatnya ditemukan terapung dalam jaring, awal bulan ini.
Tertuduh, Yogesvaran Subramaniam, 40, Lim Yong Ming, 26, Achuthan Nagarajan, 32, dan How Han Wei, 33, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno, menurut Harian Metro.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh memandangkan kes bunuh terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa membunuh Low Kai Xian, 39, antara kedai makan di Jalan Emas Putih, Taman Sri Skudai, Johor Bahru sehingga di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja.
Kejadian berlaku antara 2.35 petang hingga 12.30 tengah hari, antara 29 Julai hingga 3 Ogos lalu.
Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta, jika tidak dihukum mati, dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim mengendalikan pendakwaan manakala Yogesvaran, Yong Ming dan Han Wei diwakili peguam Fareda Sabapathy.
Peguam Sean Dodley Samuel Jayarajan pula mewakili Achuthan.
Chuah Shyue Chien dan Kenji Soh Xin Da pula bertindak selaku peguam pemerhati kepada keluarga mangsa.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh baru sementara menunggu laporan bedah siasat, laporan asid deoksiribonukleik (DNA), laporan forensik kamera litar tertutup (CCTV) dan forensik telefon bimbit.
Tiada tawaran ikat jamin ditawarkan terhadap semua tertuduh.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan kes disebut semula pada 14 Oktober ini sementara menunggu laporan terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan