Rosli Ilham
am@hmetro.com.my

TERTUDUH (kiri) mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol dan cabul anak tirinya. FOTO Rosli Ilham
Kemaman: Bekas guru didakwa di dua mahkamah di sini hari ini atas pertuduhan merogol dan mencabul kehormatan anak perempuan tirinya dalam dua kejadian berasingan pada 2023 dan 2024.
Tertuduh yang berusia 59 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan masing-masing di hadapan hakim dan majistret.
Di Mahkamah Seksyen, tertuduh didakwa merogol anak perempuan tirinya yang ketika itu berusia 25 tahun tanpa kerelaannya di sebuah rumah kedai di Kemasik pada 20 Mei 2024, kira-kira jam 2.20 petang.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Hakim Wan Suhaila Mohd membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran pada minggu pertama setiap bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hafiz Mohd Khair.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan mangsa dengan cara meraba dan menyentuhnya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan terhadap mangsa yang sama di dalam biliknya di sebuah rumah di Kijal, Kemaman, antara jam 12.45 tengah malam hingga 1 pagi pada Oktober 2023.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Majistret Marsha Abdul Malik membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhammad Arif Mohd Amin, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Ariff Syarifuddin Saibi.
Kedua-dua kes akan disebut semula pada 24 November depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan