"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Lepas nenek, anak dan cucu pula disahkan maut dua kenderaan bertembung

ROHANA MOHD. NAWI
Keadaan dua buah kenderaan yang bertembung di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran sebuah stesen minyak di Laloh, Kuala Krai hari ini. Foto IHSAN POLIS
KUALA KRAI – Dua lagi mangsa termasuk seorang bayi berusia setahun disahkan maut dalam nahas melibatkan sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran sebuah stesen minyak di Laloh, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7.15 pagi itu, Safinaz Razmi, 52, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kereta jenis Perodua Bezza dinaikinya dipercayai bertembung dengan sebuah MPV jenis Toyota Alphard.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Mohd. Maizan Mustaffa berkata, seorang wanita, Jasmin Lyana Mohd. Jamil, 22, yang merupakan anak kepada Safinaz menghembuskan nafas kira-kira pukul 9.59 pagi tadi ketika sedang menerima rawatan di Zon Merah, Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), di sini akibat kecederaan parah di kepala.

Katanya, tidak lama kemudian, anak kepada Jasmin Lyana iaitu Nur Nuha Helena Abd. Matin yang berusia setahun meninggal dunia di HSIP kira-kira pukul 4.40 petang tadi akibat kecederaan yang sama dengan ibunya.

“Pemandu kereta Perodua Bezza yang juga suami kepada Jasmin Lyana kini dalam keadaan kritikal dan masih dirawat di Zon Merah HSIP.

“Siasatan awal mendapati, kereta Perodua Bezza yang dinaiki empat beranak itu dipercayai memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan sebuah MPV jenis Toyota Alphard yang berada di laluan bertentangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, hajat seorang wanita bersama anak, menantu dan cucunya untuk pulang menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung halaman tidak kesampaian apabila mangsa maut dalam kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran sebuah stesen minyak di Laloh, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE

5 beradik yatim piatu di pagi raya, ibu bapa maut nahas

FMT Reporters

Syah Lokman Ludza Ramli dan isteri, Nurulfiza Ardiana Amba meninggal dunia dalam perjalanan balik kampung ke Jempol.
n Van Jenazah IPK Pahang (Gambar IPD Pekan) 27526
Jenazah dibawa menggunakan Van Jenazah IPK Pahang untuk urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam, Felda Raja Alias, Bandar Baru Serting, Jempol, Negeri Sembilan. (Gambar IPD Pekan)
PETALING JAYA: Lima beradik yatim piatu sekelip mata susulan nahas maut meragut nyawa ibu bapa mereka, dalam kejadian di KM76, Jalan Kuantan-Segamat, Pekan, awal pagi Hari Raya Aidiladha.

Nahas berlaku sekitar 3 pagi itu meragut nyawa Syah Lokman Ludza Ramli, 50, berpangkat inspektor da­ri IPD Kuan­tan dan isteri, Nurulfiza Ardiana Amba, 46.

Pasangan berkenaan bersama empat anak mereka berusia 10, 13, 15, dan 18 tahun dalam perja­la­nan pulang beraya ke Jempol, Negeri Sembilan.

Empat anak mereka cedera, manakala seorang lagi, Muhammad Afiq, 20, sudah berada di kampung me­nunggu kepulangan mereka.

Afiq yang juga pelajar Kolej Vokasional Pertanian Che­nor, berkata dia menerima berita mengenai nahas itu pada 4 pagi selepas dikejutkan bapa sau­daranya yang memaklumkan ibu dan ba­pa­nya sudah tiada.

“Memang terkejut sebab saya tidak tahu papa balik kampung ma­lam tadi (kelmarin). Saya ingat mereka bertolak awal pagi,” katanya kepada Kosmo.

Dua adiknya iaitu Mu­hammad Adib, 18, dan Mu­ham­mad Akif, 10, dirawat di Hospital Muadzam Shah, ma­nakala Nur Arissa Safiya, 15, dan Muham­mad Aqil, 13, ce­dera ri­ngan.

Awal hari ini, Ketua Polis Pekan Mohd Zaidi Mat Zin, dilaporkan berkata nahas berlaku apabila Proton Wira dinaiki arwah dipercayai hilang kawalan dan ter­babas masuk ke laluan berten­tangan sebelum bertembung de­ngan Honda City.

4 penyerang bertudung naik motosikal tembak polis

KOSMO
Kumpulan penyerang itu memakai tudung semasa melepaskan beberapa das tembakan di wilayah Pattani, Thailand. - Thairath
BANGKOK – Seorang anggota polis cedera, manakala isterinya meninggal dunia selepas kereta sedan dinaiki mereka ditembak oleh empat penyerang yang memakai tudung untuk menyamar sebagai wanita Islam di Thailand, lapor portal berita Thaiger.

Polis dimaklumkan mengenai insiden tembakan sekitar pukul 3.30 petang (waktu tempatan) berhampiran sebuah sekolah di Yarang, wilayah Pattani, baru-baru ini. 

Selain menemui kesan tembakan pada cermin hadapan dan bahagian pemandu, polis mengesahkan isteri  anggota polis terbabit, Fatimoh Yango, 35, meninggal dunia di tempat duduk belakang. 

Anggota polis bernama Adul Yeesulong, 38, itu dibawa ke Hospital Yarang selepas kakinya ditembak, manakala anak mangsa berumur dua bulan dilaporkan cedera  terkena serpihan peluru. 

Polis turut menemukan tujuh kelongsong peluru raifal AK, tiga kelongsong peluru 9 milimeter dan dua peluru lain di tempat kejadian. 

Siasatan awal mendapati Yeesulong sedang dalam perjalanan bersama Yango dan dua anak mereka untuk menjemput dua anak lelaki dari sekolah. 

Empat penyerang yang memakai tudung untuk menyembunyikan wajah mereka dilaporkan menunggu di tepi jalan dengan menaiki dua motosikal. 

Apabila kumpulan penyerang itu melihat kereta mangsa, mereka segera melepaskan beberapa das tembakan. 

Pihak berkuasa percaya keempat-empat suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan pemberontak di Selatan Thai serta terlibat dalam serangan yang membunuh seorang pegawai polis pada 4 Mei lalu. – AGENSI