KOSMO

Kumpulan penyerang itu memakai tudung semasa melepaskan beberapa das tembakan di wilayah Pattani, Thailand. - Thairath
BANGKOK – Seorang anggota polis cedera, manakala isterinya meninggal dunia selepas kereta sedan dinaiki mereka ditembak oleh empat penyerang yang memakai tudung untuk menyamar sebagai wanita Islam di Thailand, lapor portal berita Thaiger.
Polis dimaklumkan mengenai insiden tembakan sekitar pukul 3.30 petang (waktu tempatan) berhampiran sebuah sekolah di Yarang, wilayah Pattani, baru-baru ini.
Selain menemui kesan tembakan pada cermin hadapan dan bahagian pemandu, polis mengesahkan isteri anggota polis terbabit, Fatimoh Yango, 35, meninggal dunia di tempat duduk belakang.
Anggota polis bernama Adul Yeesulong, 38, itu dibawa ke Hospital Yarang selepas kakinya ditembak, manakala anak mangsa berumur dua bulan dilaporkan cedera terkena serpihan peluru.
Polis turut menemukan tujuh kelongsong peluru raifal AK, tiga kelongsong peluru 9 milimeter dan dua peluru lain di tempat kejadian.
Siasatan awal mendapati Yeesulong sedang dalam perjalanan bersama Yango dan dua anak mereka untuk menjemput dua anak lelaki dari sekolah.
Empat penyerang yang memakai tudung untuk menyembunyikan wajah mereka dilaporkan menunggu di tepi jalan dengan menaiki dua motosikal.
Apabila kumpulan penyerang itu melihat kereta mangsa, mereka segera melepaskan beberapa das tembakan.
Pihak berkuasa percaya keempat-empat suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan pemberontak di Selatan Thai serta terlibat dalam serangan yang membunuh seorang pegawai polis pada 4 Mei lalu. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan