HARRITH HISHAM
KUALA LUMPUR – Seramai 51 lelaki dicekup polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan tidak bermoral iaitu parti dadah dan pesta gay menerusi beberapa siri serbuan di sebuah hotel terkemuka di sekitar ibu negara, awal pagi semalam.
Operasi bermula sekitar pukul 2.35 hingga 5 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kumpulan itu dipercayai menjadikan bilik-bilik hotel mewah sebagai lokasi berhibur dan menyalahgunakan dadah serta menjalankan aktiviti tidak bermoral.
“Hasil serbuan berjaya menahan seramai 51 individu terdiri daripada 23 lelaki tempatan serta 28 lelaki warga asing berusia antara 21 hingga 52 tahun.
“Turut dirampas ialah cecair Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 1.15 kilogram, serbuk MDMA seberat 284 gram, pil ekstasi seberat 8.56 gram, serbuk ekstasi seberat 8.7 gram serta ketamin seberat 11.61 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussein berkata, nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM103,070.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum serbuan dijalankan, polis mendapati seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti terbabit diusung di lobi hotel dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, katanya, lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati 36 individu positif dadah manakala 15 lagi negatif.Air Botol
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Beliau menambah, kesemua suspek telah direman antara tiga hingga enam hari bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan