"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Misteri kematian lelaki bongkar parti dadah warga asing di hotel mewah

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Misteri kematian seorang lelaki tempatan di sebuah hotel mewah di ibu negara awal pagi tadi, membongkar penganjuran 'parti dadah' yang dihadiri warga asing.

Susulan itu, polis menahan lapan individu dalam satu serbuan kira-kira jam 4 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, polis menerima laporan kematian seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari sebuah hotel di Jalan Stesen Sentral pada jam 3 pagi.

Beliau berkata, susulan maklumat diperoleh, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menyerbu bilik hotel kira-kira jam 4 pagi.

"Serbuan itu membawa kepada penahanan lapan individu pelbagai warganegara terdiri daripada dua lelaki tempatan, dua lelaki warga Singapura serta masing-masing seorang warga Hong Kong, Vietnam, Indonesia dan China.

"Hasil pemeriksaan turut menemukan satu paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis ketamin seberat 1.5 gram serta tiga biji pil disyaki ekstasi seberat 0.7 gram," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kematian lelaki terbabit kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

"Mayat dihantar ke HKL. Bedah siasat dijalankan pada jam 9.30 pagi sebelum selesai kira-kira jam 12 tengah hari.

"Punca kematian setakat ini masih menunggu keputusan ujian makmal," katanya.

Tiada ulasan: