ROHANA MOHD. NAWI

Keadaan dua buah kenderaan yang bertembung di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran sebuah stesen minyak di Laloh, Kuala Krai hari ini. Foto IHSAN POLIS
KUALA KRAI – Dua lagi mangsa termasuk seorang bayi berusia setahun disahkan maut dalam nahas melibatkan sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran sebuah stesen minyak di Laloh, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 7.15 pagi itu, Safinaz Razmi, 52, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kereta jenis Perodua Bezza dinaikinya dipercayai bertembung dengan sebuah MPV jenis Toyota Alphard.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Mohd. Maizan Mustaffa berkata, seorang wanita, Jasmin Lyana Mohd. Jamil, 22, yang merupakan anak kepada Safinaz menghembuskan nafas kira-kira pukul 9.59 pagi tadi ketika sedang menerima rawatan di Zon Merah, Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), di sini akibat kecederaan parah di kepala.
Katanya, tidak lama kemudian, anak kepada Jasmin Lyana iaitu Nur Nuha Helena Abd. Matin yang berusia setahun meninggal dunia di HSIP kira-kira pukul 4.40 petang tadi akibat kecederaan yang sama dengan ibunya.
“Pemandu kereta Perodua Bezza yang juga suami kepada Jasmin Lyana kini dalam keadaan kritikal dan masih dirawat di Zon Merah HSIP.
“Siasatan awal mendapati, kereta Perodua Bezza yang dinaiki empat beranak itu dipercayai memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan sebuah MPV jenis Toyota Alphard yang berada di laluan bertentangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, hajat seorang wanita bersama anak, menantu dan cucunya untuk pulang menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung halaman tidak kesampaian apabila mangsa maut dalam kemalangan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran sebuah stesen minyak di Laloh, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan