"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas penyelia GLC didenda RM10,000 kerana aib kehormatan pelatih wanita

Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap seorang bekas penyelia syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri selepas didapati bersalah mengaibkan kehormatan seorang pelatih universiti, dua tahun lalu.

Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Yusran Yusuf, 36, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga bapa kepada dua anak itu didakwa mengaibkan kehormatan seorang pelatih wanita di bawah seliaannya dengan mengemukakan beberapa pertanyaan berunsur seksual dan lucah termasuk sama ada mangsa masih dara, pernah menonton video lucah serta melakukan masturbasi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda berhampiran sebuah ladang di Merotai Besar, antara jam 3 petang hingga 4 petang pada 4 September 2024.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Dayang Aidaku Amira berkata, mahkamah berpuas hati bahawa perkataan yang diucapkan tertuduh sememangnya ditujukan kepada pengadu dan dimaksudkan untuk didengari olehnya.

Beliau berkata, keterangan pengadu jelas menunjukkan tertuduh mengemukakan pertanyaan bersifat peribadi, seksual dan lucah yang menjurus kepada privasi selain mengganggu serta menjatuhkan maruah mangsa.

“Mahkamah mendapati sifat pertanyaan itu secara terang-terangan berbentuk seksual, bersifat peribadi dan tidak boleh dianggap sebagai perbualan biasa di tempat kerja.

“Pertanyaan sama ada pengadu masih dara, pernah menonton video lucah dan pernah melakukan masturbasi tidak boleh secara munasabah dikategorikan sebagai perbualan biasa atau tidak memudaratkan,” katanya.

Menurutnya, pembelaan tertuduh bahawa perbualan itu hanya berkaitan topik ‘friends with benefit’ gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Katanya, mahkamah turut mendapati penjelasan pembelaan bersifat self-serving dan tidak memadai untuk menangkis keterangan langsung yang dikemukakan pengadu selain pengadu adalah saksi yang kredibel.

Sepanjang prosiding perbicaraan yang bermula pada 19 Jun tahun lalu, pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wildan Firdaus Ahmad Fazly memanggil tujuh saksi bagi menyokong kes pendakwaan.

Sementara itu, peguam Noorhaidah @ Nasra Abd Raup yang mewakili tertuduh mengemukakan pembelaan dengan memanggil tertuduh sendiri untuk memberi keterangan secara bersumpah selain seorang saksi pembelaan iaitu isterinya.

Tiada ulasan: