Malaysiakini
Parti Bersama Malaysia (Bersama) berharap mereka akan dapat meraih sokongan pengundi kecewa dan sedang mencari alternatif kepada tiga gabungan politik utama yag ada dalam negara.
Memetik data yang dikumpulkan pasukannya sejak 2016, Rafizi Ramli berkata, mereka yakin untuk menubuhkan gerakan baru itu susulan kemerosotan tahap kepercayaan rakyat terhadap PH, BN dan PN.
Menurut bekas Timbalan Presiden PKR itu, pihaknya melihat bilangan pengundi yang tidak berpuas hati itu semakin meningkat dari semasa ke semasa, malah ia melangkaui batasan kaum.
“Kami tidak boleh syok sendiri kerana kami tidak mahu tubuh parti baru tetapi akhirnya hilang deposit dalam pilihan raya. Kami perlukan bukti empirikal.
“Menjelang Feb tahun ini, kami yakin memang wujud ruang untuk sebuah parti politik baru,” katanya dalam episod terbaru audio siar terbitan KiniTV, Explain Sikit yang dihoskan Mastura Malak dan Zikri Kamarulzaman malam semalam.
Rafizi mendakwa jumlah pengundi yang mencari alternatif kini mengatasi sokongan terhadap setiap gabungan politik utama negara.
Menurutnya, responden daripada masyarakat India mencatat peratusan tertinggi iaitu 65 peratus, diikuti masyarakat Cina sebanyak 60 peratus.
Bagi pengundi Melayu pula, kata Rafizi, sokongan terbahagi kepada empat kumpulan dengan PH, BN dan PN masing-masing memperoleh antara 21 hingga 25 peratus sokongan, manakala 32 peratus lagi tergolong dalam kategori pengundi kecewa.
Mahu calon segar, terbaik
Bagaimanapun, Rafizi mengakui masih terlalu awal untuk memastikan sama ada Bersama benar-benar mampu menarik sokongan kelompok itu atau sebaliknya.
“Hipotesisnya ialah memang ada permintaan untuk sebuah parti baru di luar tiga gabungan utama ini.
“Kita perlu lihat mulai Jun nanti sama ada 32 peratus ini boleh menerima Bersama atau tidak,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pemimpin utama Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata ramai pengundi sudah muak dengan situasi politik semasa.
Dia yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada anggota kabinet mengaitkan keadaan itu dengan pelbagai percaturan dan penjajaran semula politik, termasuk Langkah Sheraton pada 2020 yang menyebabkan kerajaan PH 1.0 tumbang.
Bekas ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata pengundi kini lebih menilai kualiti calon berbanding parti yang diwakili mereka.
“Sebab itu Bersama sebagai parti baru perlu memilih calon yang ‘segar’ dan terbaik.
“Maksudnya piawaian yang kita tetapkan untuk calon pilihan raya nanti mesti tinggi kerana pengundi hari ini tidak akan sewenang-wenangnya memberi undi,” katanya dalam audia siar itu.
Sementara itu mengulas rancangan Bersama menghadapi PRU akan datang, Rafizi memberi bayangan bahawa mereka masih meneliti kerusi yang sesuai untuk ditandingi.
Bekas menteri ekonomi itu berkata usia Bersama yang masih muda dan kedudukan kewangan yang ketat memerlukan mereka berhati-hati dalam membuat pilihan serta menggunakan pendekatan berasaskan data.
Mahu pecahkan monopoli
Secara sinis Rafizi juga berkata keputusan mereka tidak dipengaruhi oleh keputusan di mana Perdana Menteri merangkap Presiden PKR, Anwar Ibrahim, akan bertanding selepas ini.
“Sama ada Bersama akan meletakkan calon menentang Anwar atau tidak, saya fikir itu keputusan kolektif parti.
“Tetapi mungkin Anwar yang mahu mengelak kami. Jika Bersama mempunyai momentum di kawasan yang beliau sasarkan, mungkin beliau akan memilih kerusi lain.
“Bagi kami pula, keputusan hanya akan dibuat berdasarkan data dan penerimaan pengundi,” katanya.
Dalam wawancara itu, Rafizi dan Nik Nazmi menegaskan bahawa parti mereka tidak akan menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak lain kerana Bersama mahu tampil sebagai alternatif baru kepada pengundi.
Malah kalau boleh, kata Rafizi, Bersama mahu memecahkan monopoli parti-parti sedia ada.
Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan, namun menegaskan sebarang sokongan daripada Bersama mesti disertakan dengan perjanjian ketat yang menetapkan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan.
Rafizi berkata syarat sedemikian penting bagi mengelakkan pengulangan situasi yang dihadapi PH dalam kerjasama kerajaan perpaduan bersama BN.
“Isu perkauman, kebencian terhadap minoriti misalnya... semua ini perlu dinyatakan dengan sangat jelas.
“Keperluan memansuhkan undang-undang yang menindas juga perlu dipersetujui.
“Berdasarkan pengalaman kami dalam kerajaan Madani, perkara-perkara ini tidak dimasukkan dalam perjanjian,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan