Muhamad Lokman Khairi
lokman.khairi@hmetro.com.my

KOMUNITI Rohingya melakukan ibadah korban pada sambutan Aidiladha di kawasan yang dilihat kurang sesuai di Selayang. FOTO Asyraf Hamzah
Selayang: Najis dan darah lembu sembelihan korban dibuang ke dalam longkang dipercayai dilakukan komuniti Rohingya di belakang deretan premis perniagaan di Jalan Besar Selayang Baru, di sini, hari ini, sekali gus menimbulkan rasa kurang senang dan kemarahan dalam kalangan penduduk tempatan.
Tinjauan Harian Metro mendapati, sebanyak 60 ekor lembu termasuk lembu sado disembelih sempena ibadah korban oleh komuniti Rohingya yang umpama 'menjarah' dan membuat koloni di kawasan pasar terbabit.
Sekali pandang, situasi ratusan warga asing mengendalikan sembelihan di lokasi ini tidak ubah seperti berada di negara asing.
Dengan tahap kebersihan dan lokasi sembelihan yang dilihat kurang sesuai, perkara itu menimbulkan tanda tanya sama ada segala kerja penyembelihan ini mendapat permit dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) serta kelulusan tapak oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Penduduk tempatan mendakwa, aktiviti penyembelihan lembu secara besar-besaran di kawasan pasar berkenaan sudah berlaku sejak lebih sedekad lalu, namun tahun ini tetap mencetuskan rasa kurang senang apabila sisa darah dan najis dibuang ke dalam longkang.
Amin Abdul Malek, 46, berkata, suasana di kawasan belakang premis perniagaan itu sejak malam tadi bagaikan pesta apabila ratusan warga asing mula menghias dan menempatkan lembu korban di lokasi berkenaan.
Katanya, kebanyakan lembu yang dibawa masuk adalah baka besar termasuk lembu sado yang dianggarkan bernilai puluhan ribu ringgit seekor.
"Malam tadi lagi mereka sudah sibuk buat persiapan dekat lorong belakang ini. Saya turun tengok memang meriah macam pesta.
"Lembu yang dibawa pun bukan biasa-biasa. Ada yang saya dengar harga sampai RM20,000 seekor, malah ada juga yang lebih mahal," katanya ketika ditemui Harian Metro di lokasi, hari ini.
Menurutnya, komuniti Rohingya di kawasan itu kebanyakannya terdiri daripada peniaga pasar dan aktiviti korban berkenaan dilakukan setiap tahun.
"Tahun ini saya dengar ada sekitar 60 ekor lembu disembelih. Tapi kalau dibandingkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dulu lagi banyak sampai berderet-deret depan kedai," katanya.
Seorang lagi penduduk, Din, 64, berkata, aktiviti korban di kawasan pasar Selayang Baru itu bukan perkara baharu kerana sudah berlangsung lebih 10 tahun.
"Memang sini tempat mereka buat korban sebab komuniti mereka ramai berniaga dekat pasar ini.
"Tapi kalau ikut undang-undang, perkara macam ini kena ada kelulusan juga daripada pihak berkuasa. Orang tempatan pun tertanya-tanya ada permit atau tidak," katanya.
Dia yang tinggal di Taman Selayang Makmur, di sini, turut mendakwa ada lembu dan kambing korban ditempatkan di dalam premis kedai dipercayai bagi mengelakkan perhatian pihak berkuasa.
Sementara itu, ahli jawatankuasa (AJK) program dikenali sebagai Sham, 35, mengakui kira-kira 60 ekor lembu disembelih di kawasan berkenaan, tidak termasuk 15 ekor lagi di Desa Bakti.
Katanya, majoriti peserta korban adalah komuniti Rohingya yang menetap dan berniaga di kawasan sekitar Selayang Baru.
Menurutnya, beberapa pihak termasuk individu berkaitan pengurusan kawasan turut berada di lokasi bagi memantau perjalanan aktiviti korban terbabit.
"Semua yang buat korban ini kebanyakannya peniaga dekat pasar sini. Program mula selepas solat Aidiladha pagi tadi.
"Kami sebagai AJK memang sudah pesan supaya jangan buang sisa dalam longkang, tapi bila ramai sangat memang susah nak kawal," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan