Juwan Riduan
am@hmetro.com.my

DUA pencuri kabel ditahan selepas cuba merempuh polis dengan Toyota Hilux, sebelum kenderaan itu terbabas. FOTO Ihsan Pembaca.
Kota Kinabalu: Dua lelaki tempatan ditahan disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kabel telekomunikasi serta cuba merempuh anggota polis berhampiran Jabatan Audit, di Jalan Tuaran di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 3.13 pagi itu, anggota polis bersama kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi yang sedang menjalankan rondaan mengesan dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah manhole (lubang lurang) milik syarikat itu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, hasil pemeriksaan mendapati beberapa individu sedang menjalankan kerja-kerja pemotongan kabel telekomunikasi di dalam lubang itu.
Bagaimanapun, katanya, suspek bertindak melarikan diri dengan sebuah Toyota Hilux dan van Hiace apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.
"Ketika cubaan melarikan diri, pemandu Toyota Hilux dipercayai cuba merempuh anggota polis yang cuba menghalang laluan kenderaan sehingga membahayakan keselamatan anggota itu.
"Namun, polis berjaya menahan Toyota Hilux selepas kenderaan itu terbabas berhampiran Jalan Likas berdekatan sebuah stesen minyak
"Dua suspek berjaya ditahan manakala pemandu van Hiace berjaya melarikan diri dan sedang dikesan pihak polis," katanya dalam kenyataan hari ini.
Syed Lot berkata, polis merampas satu unit alat pemotong kabel dipercayai digunakan dalam jenayah itu.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati kabel milik syarikat telekomunikasi itu sudah dipotong, namun belum sempat dibawa keluar dari lokasi kejadian.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau van Hiace yang melarikan diri diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau pegawai penyiasat Inspektor Saiful Azri Ismail di talian 014-6115879," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan