Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my

ANTARA motosikal menerusi yang disita polis ketika mengadakan Op Motosikal Samseng Jalanan bagi membanteras kegiatan mat rempit di Jalan Guar Kering, Kampung Terus, petang semalam. FOTO Ihsan PDRM
Bukit Mertajam: Polis menyita 23 motosikal menerusi Op Motosikal Samseng Jalanan bagi membanteras kegiatan lumba haram di Jalan Guar Kering, Kampung Terus, di sini, kelmarin.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah dalam kenyataan di Facebook memaklumkan operasi itu diadakan susulan aduan yang diterima berkaitan aktiviti tidak berfaedah itu.
Menurut kenyataan itu, operasi memberi tumpuan kepada kumpulan remaja yang dipercayai sering berkumpul di lokasi berkenaan bagi melakukan aktiviti lumba haram, aksi berbahaya seperti 'wheelie' serta penggunaan ekzos motosikal yang diubah suai sehingga mengganggu ketenteraman awam.
"Hasil operasi, sebanyak 60 buah motosikal diperiksa dan 110 saman atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan.
"Selain itu, 23 buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, operasi itu dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seberang Perai Tengah dengan kerjasama anggota Balai Polis Kubang Semang.
"Pihak polis memandang serius kegiatan samseng jalanan kerana bukan saja membahayakan keselamatan diri sendiri, malah turut mengancam pengguna jalan raya yang lain.
"Operasi dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
"Ibu bapa dan penjaga turut disaran memainkan peranan penting dalam memantau pergerakan anak-anak agar tidak terlibat dalam aktiviti tidak sihat yang boleh mengundang bahaya dan tindakan undang-undang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan