"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pegawai Penjara Taiping patut didakwa kerana serang banduan -Suhakam

Suhakam cadang pegawai Penjara Taiping didakwa serang banduan

Minderjeet Kaur

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyeru pertuduhan jenayah dikenakan terhadap pegawai lain di penjara Taiping yang terlibat serangan ke atas banduan pada Januari 2025, mengakibatkan seorang maut dengan hampir 100 lagi cedera.

Susulan berakhirnya inkuiri awam mengenai insiden itu, Suhakam berkata rakaman litar tertutup (CCTV) dan keterangan saksi menjurus kejelasan bukti langsung mengenai salah laku.

Walaupun seorang warden telah dituduh atas kesalahan membunuh tanpa niat, Pengerusi Suhakam Hishamudin Yunus yang juga bekas hakim Mahkamah Rayuan, berkata siasatan jenayah harus dimulakan terhadap pegawai lain yang turut terlibat dalam insiden berkenaan.

“Suhakam berpandangan tindakan undang-undang segera adalah wajar memandangkan insiden itu disokong rakaman CCTV, yang menjadi bukti jelas, serta keterangan saksi yang melihat sendiri kejadian tersebut.

“Ketiadaan kawalan yang sewajarnya menyebabkan pegawai penjara bertindak melampaui kuasa dengan melakukan tindakan sewenang-wenangnya terhadap tahanan, seolah-olah undang-undang tidak terpakai kepada mereka,” kata Hishamudin di ibu pejabat Suhakam.

Beliau juga menggesa Jabatan Penjara segera memulakan prosiding tatatertib terhadap pegawai terlibat.

Lebih 100 banduan di Penjara Taiping diserang kira-kira 60 warden semasa proses pemindahan dari Dewan B ke Blok E pada Januari 2025. Seorang tahanan, Gan Chin Eng, maut dalam insiden itu.

Semasa inkuiri berjalan, peguam persekutuan bagi Jabatan Penjara mengakui pegawai penjara bersalah kerana melanggar hak asasi tahanan dalam kejadian berkenaan.

Suhakam tegur dakwaan palsu, manipulasi rekod perubatan. 

Hishamudin berkata, Suhakam mendapati beberapa laporan polis dibuat pegawai penjara terhadap tahanan mengandungi dakwaan palsu dan tidak tepat yang menggambarkan banduan sebagai pihak agresif.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai dakwaan manipulasi rekod perubatan serta pemadaman bukti gambar dan video yang dirakam ketika insiden.

Katanya, kakitangan perubatan penjara didakwa mengaitkan kecederaan banduan akibat terjatuh dan tidak menyatakan sebarang rujukan mengenai keganasan dilakukan warden penjara.

“Corak rekod ini menunjukkan kakitangan perubatan juga telah memainkan peranan dalam membantu pihak berkuasa penjara Taiping menyembunyikan kejadian sebenar dan melindungi pegawai penjara daripada dipersalahkan,” katanya.

Hishamudin berkata, inkuiri itu juga mendapati tarikh rawatan pada kad perubatan tahanan telah dipinda agar sepadan dengan tarikh insiden.

Beliau juga berkata, pegawai penjara menggunakan semburan lada dan cota ke atas tahanan, malah termasuk banduan yang sedang duduk berbaris sambil tangan mereka digari di belakang.

Pegawai terbabit telah ‘hilang kawalan diri, seolah-olah mengamuk’ semasa memindahkan banduan tersebut, kata pengerusi Suhakam itu.

Inkuiri berkenaan mendapati pihak pengurusan penjara tetap meneruskan proses pemindahan walaupun mengetahui Blok E mengalami kerosakan serius struktur dan keadaan persekitaran yang tidak selamat didiami.

Antara masalah dikenal pasti termasuklah limpahan air kumbahan ketika hujan lebat, serangan tikus dan lipan, bau busuk, serta penggunaan ‘sistem baldi’ berterusan, berbanding tandas moden.

Panel menyatakan bahawa keengganan tahanan berpindah ke Blok E tidak boleh dianggap sebagai penentangan, sebaliknya ia merupakan ‘reaksi yang timbul daripada ketakutan munasabah’.

Inkuiri itu turut menyeru Putrajaya memperkenalkan undang-undang jelas menjadikan penyeksaan, layanan tidak berperikemanusiaan, dan hukuman yang menjatuhkan maruah sebagai satu kesalahan jenayah.

Ia juga meminta pemantauan penjara lebih ketat dilaksanakan dan mencadangkan penggunaan Penjara Taiping—yang dibina pada 1879—dihentikan sebagai kemudahan penahanan berikutan keadaannya yang semakin merosot.

Tiada ulasan: