"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isteri hilang selepas keluar beli barang dapur

Farhana Yaacob
am@hmetro.com.my
NORASLINA Abdul Manap dilaporkan hilang sejak Khamis lalu. FOTO ihsan keluarga
NORASLINA Abdul Manap dilaporkan hilang sejak Khamis lalu. FOTO ihsan keluarga
Melaka: Seorang suami merayu kepulangan isterinya yang hilang selepas keluar membeli barang dapur di sebuah pasar raya di Taman Malim Jaya pada Khamis lalu.

Wanita berkenaan, Noraslina Abdul Manap, 40, kali terakhir dilihat meninggalkan kediaman di Rumah Pangsa Kampung Padang di Pokok Mangga, di sini, jam 4.40 petang pada 21 Mei lalu.

Mohamad Farouk Abdul Salam, 49, berkata, dia hanya menyedari kehilangan Noraslina selepas menghubungi isterinya sebaik tiba di rumah.

"Pada jam 6 petang, isteri masih belum pulang menyebabkan saya mula risau lalu cuba menghubunginya.

"Namun panggilan telefon tidak dapat disambung seperti telefonnya sudah dimatikan dan hingga kini dia masih gagal dikesan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, dia sudah berusaha mencari isterinya di rumah saudara-mara serta rakan terdekat namun gagal menemui wanita itu.

Katanya, laporan polis kemudian dibuat di Balai Polis Malim pada Jumaat lalu kerana bimbang keselamatan isterinya.

Menurutnya, Noraslina tidak pernah keluar rumah dalam tempoh lama tanpa memaklumkan kepada keluarga.

Dia berkata, dia tidak tahu punca kehilangan isterinya itu kerana sebelum kejadian tidak berlaku sebarang masalah antara mereka.

"Saya berharap isteri dapat pulang segera kerana kami sekeluarga sangat bimbang akan keselamatannya.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan isteri saya boleh menghubungi talian 012-2372475 atau 010-6665354," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Senior Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan wanita terbabit.

Tiada ulasan: