"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja 15 tahun ditahan disyaki tetak penyelia keselamatan di Cheras

Fuad Nizam

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang remaja lelaki tempatan berusia 15 tahun kerana disyaki mencederakan seorang penyelia keselamatan menggunakan pisau di hadapan sebuah kedai serbaneka di Razak City Residensi, Cheras, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati mangsa, 49, menegur suspek yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk kerana membuang tin minuman keras merata-rata di kawasan itu.

“Suspek yang tidak berpuas hati selepas ditegur kemudian bertindak agresif dan menghayunkan pisau sehingga menyebabkan mangsa mengalami luka tetakan di bahagian kiri abdomen,” katanya dalam satu kenyataan.

Rosdi berkata, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis dari Balai Polis Salak Selatan menahan suspek di lokasi kejadian pada jam 10.45 pagi hari sama.

Beliau berkata, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

“Suspek tidak bersekolah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek negatif dadah,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

“Suspek direman sehari pada Sabtu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut,” katanya.

Tiada ulasan: