KOSMO!

Beberapa gambar dimuat naik beberapa pengguna di media sosial
PETALING JAYA – Laluan Merapoh ke Gua Musang dilaporkan mengalami kesesakan luar biasa sejak awal pagi tadi apabila ribuan kenderaan dipercayai mula bergerak pulang sempena cuti Hari Raya Aidiladha.
Tinjauan di media sosial mendapati ramai pengguna berkongsi keadaan trafik yang hampir tidak bergerak selama beberapa jam terutama di laluan menghala ke Pantai Timur.
Seorang pengguna Facebook dikenali sebagai @nrxrizxshmi mendakwa dia memulakan perjalanan dari Bukit Jalil pada pukul 9.45 malam sebelum hanya tiba di Merapoh sekitar pukul 7.57 pagi.
“Gerak dari Bukit Jalil 9.45 malam tadi. Sekarang 7.57 pagi di Merapoh,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna pula memaklumkan ramai pengguna jalan raya terpaksa berhenti menunaikan solat Subuh di tepi jalan akibat kesesakan yang terlalu lama.
“Gerak pukul 10 malam, sekarang 7 pagi masih ‘stuck’ di Merapoh. Ramai dah berhenti subuh tepi jalan,” katanya.
Selain itu, ada pengguna Threads mendakwa perjalanan dari Gombak ke Gua Musang yang kebiasaannya mengambil masa beberapa jam menjadi jauh lebih panjang akibat trafik perlahan.
“Pukul 12 malam dari Gombak, pukul 7 pagi baru dekat Gua Musang. Tak lembu rebah, aku yang rebah dulu,” seloroh seorang pengguna.
Dalam pada itu, beberapa pengguna mendakwa kesesakan dipercayai berpunca daripada penutupan satu lorong jalan yang menyebabkan laluan tiga lorong menjadi satu lorong sahaja.
“Antara punca jem Merapoh-Gua Musang, penutupan satu lorong jalan. Tiga lorong berubah jadi satu lorong,” kata seorang pengguna lain.
Difahamkan setakat pukul 11 pagi tadi, aliran trafik di Merapoh masih dilaporkan perlahan lebih-lebih lagi menuju ke Gua Musang.
“Lebuh raya Merapoh jem wey dari Gua Musang lagi.. Dahsyat lah warga Pantai Timur.. Kita nak turun Kuala Lumpur, dorang nak naik,” tulis @Rzkdoter pada pukul 10.45 pagi tadi. -KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan