Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
Seremban: Bayi perempuan meninggal dunia dipercayai akibat lemas di dalam baldi di sebuah rumah di Jalan Sri Permata Ladang, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, bayi berkenaan disedari berada dalam terlangkup di dalam baldi berisi air jam 2.30 petang.
"Pada jam 7.22 malam tadi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban menerima satu laporan polis berkaitan satu kes kematian seorang bayi perempuan berusia 11 bulan di sebuah rumah.
"Hasil siasatan awal yang dijalankan, mendapati mangsa diasuh neneknya bermula jam 9 pagi pada hari kejadian sementara ibu dan bapa bayi keluar bekerja," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Yatim berkata, kira-kira jam 2.30 petang, mangsa dibiarkan tidur di dalam buaian sementara neneknya memasak dan menjemur pakaian.
"Tidak lama selepas itu, neneknya menyedari mangsa sudah tidak berada di dalam buaian dan selepas mencari, dapati mangsa di dalam sebuah baldi yang berisi sedikit air sabun di halaman belakang rumah dalam keadaan kepala di bawah," katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum di rujuk ke Hospital Tuanku Jaafar, di sini.
"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital oleh pegawai perubatan pada jam 4.30 petang.
"Bedah siasat dijalankan pada jam 1 pagi tadi namun punca kematian masih dalam siasatan atau 'pending lab investigation'," katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, satu tangkapan dilakukan terhadap seorang wanita berumur 54 tahun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya terus kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor R Sinniah di talian 06- 6033222," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan